Pada pandangan saya, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan dengan kedudukannya sebagai anggota Kabinet tidak wajar mengemukakan kenyataan akan perlunya rakyat melakukan 2 kerja untuk menambah pendapatan keluarga.
Tidak dinafikan terdapat rakyat yang melakukan lebih daripada satu kerja.
Namun pada pandangan saya dengan keadaan ekonomi negara parah hari ini, rakyat terpaksa bekerja lebih kerana hendak memenuhi kos keperluan harian yang semakin menekan.
Maksud saya, kerja lebih untuk menampung keperluan bukan untuk memiliki lebih pendapatan boleh guna.
Sebagai menteri, pandangan beliau amat memalukan. Ini kerana beliau memiliki peranan dan perlu menjawab dalam skop kemampuan beliau selaku ahli Kabinet, tentang apakah polisi dan langkah drastik yang boleh dilakukan kerajaan untuk mengurangkan bebanan rakyat.
Bukan bebanan itu dipulangkan semula kepada rakyat dengan mengerahkan rakyat bekerja lebih.
Anda sebagai menteri, berilah respons atas kapasiti sebagai seorang menteri, apa yang kerajaan boleh lakukan, bukan menghambat dan memulangkan paku buah keras kepada rakyat.
Lebih-lebih lagi kerajaan hari ini dipalitkan dengan pelbagai skandal kewangan yang besar seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dari mana datangnya RM2.6 bilion dalam akaun perdana menteri.
Jawapan Ahmad hanyalah melambangkan gagalnya pihak kerajaan dalam menyelami permasalahan dihadapi rakyat bawahan yang terpaksa bergelut setiap hari bagi survival kehidupan mereka.
No comments: