Setiap hari, Huda Jamaluddin akan bangun jam 6 pagi menggoreng bergedil untuk dijual di kedai nasi lemak milik saudaranya sebelum pergi bekerja di sebuah bank Taman Melawati.
Tinggal bersama keluarganya di Gombak, jurujual eksekutif berusia 26 tahun itu berkata beliau perlu melakukan 2 kerja untuk memenuhi keperluan hidupnya.
"Sebelum saya pergi kerja waktu pagi, saya akan pastikan jam 6.30 pagi, saya sudah habis menggoreng bergedil.
"Saya tinggal di rumah keluarga saya, tetapi sudah tentu kita perlu bantu-membantu sama sendiri dan menyediakan apa yang perlu untuk keluarga," katanya kepada The Malaysian Insider.
Huda merupakan salah seorang daripada rakyat Malaysia yang sebelumnya tercetus saranan kontroversi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Ahmad Maslan, sudah bergelut melakukan 2 kerja demi survival mereka di kota besar seperti Kuala Lumpur.
Menteri Umno itu mencetuskan kritikan dengan menyatakan kerajaan mengalakkan rakyat berpendapatan rendah melakukan 2 kerja bagi menangani kenaikan kos kehidupan.
Huda berkata sekurang-kurangnya boleh meraih pendapatan tambahan sebanyak RM500 daripada hasil jualannya, sambil mengakui dirinya bertuah memandangkan perjalanan ke tempat kerja hanya memakan masa selama 15 minit.
"Kerja tidak akan berhenti. Pada hujung minggu saya akan menyediakan bekalan pada minggu hadapan. Ada sesetengah bergedil juga dibungkus dalam bungkusan bagi pembeli yang inginkan dalam bentuk makanan sejuk beku.
"Alhamdullilah, dalam seminggu saya dapat menjual kira-kira 400 bergedil," katanya.
Huda memulakan perniagaan menjual bergedil sebelum mendapat pekerjaan tetap di bank dan kemudiannya memutuskan meneruskan usaha itu bagi menambah pendapatan demi menangani kenaikan kos sara hidup.
"Ianya tidak akan mencukupi sekiranya saya hanya bergantung semata-mata pada gaji. Jadi saya akan mencari alternatif lain untuk menambah duit poket saya.
"Kita tidak boleh bergantung semata-mata dengan gaji kita hari ini, perlu cari juga peluang lain dan tidak boleh berterusan merungut tanpa melakukan sebarang usaha," katanya.
Mengulas mengenai kenyataan Ahmad, Huda bagaimanapun bersetuju dengannya dalam konteks seseorang individu perlu mencari alternatif dan tidak hanya bergantung kepada satu sumber pendapatan.
"Sebagai contoh, graduan yang masih mengganggur perlu berbuat sesuatu untuk menjana pendapatan.
"Dan selepas itu, apabila mereka mendapat pekerjaan mereka perlu berusaha untuk mengekalkan pekerjaan sampingan itu," katanya.
Bagi Zan, 44, beliau melakukan 2 kerja selama lebih 10 tahun.
Operator pengeluaran di sebuah kilang itu bekerja sebagai penjual buah di Stadium Shah Alam pada hujung minggu.
Bapa kepada 3 orang anak itu berkata, meskipun menjual buah hanya pada hujung minggu, beliau terpaksa mengorbankan masanya untuk perniagaannya.
Zan berkata, kerja tambahannya memerlukan beliau bangun pada jam 4 pagi setiap Ahad.
"Meskipun melakukan 2 pekerjaan saya tetap merasakan amat sukar untuk menyimpan kerana kos berterusan meningkat," katanya dan menambah hasil jualannya itu hanya dapat menampung perbelanjaan bulanan keluarganya.
Katanya, apabila memulakan 2 pekerjaan, beliau mampu menyimpan sedikit wang tunai dan membeli rumah dan juga trak kecil untuk perniagaannya.
"Sekarang keadaan semakin sukar. Sebagai contoh, kos untuk harga buah meningkat 50%, malah buah oren juga dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) RM3 sekotak," katanya, merujuk kepada pelaksanaan GST.
Berbanding dahulu katanya, orang ramai boleh membeli sehingga 3 kilogram mangga dengan harga RM10, tetapi kini peniaga juga sudah tidak mampu mendapatkan buah dengan harga begitu.
"Sebab itu saya memutuskan tidak boleh lagi menjual mangga, ianya tidak menguntungkan," katanya sambil menambah kos lain seperti sewa tapak juga meningkat sebanyak 100%.
"Tidak ada gunanya sekiranya melakukan 3 pekerjaan jika kos berterusan meningkat seperti ini," katanya.
Ditanya mengenai kenyataan Ahmad, Zan berkata timbalan menteri itu tidak sepatutnya membuat kenyataan “gila” yang boleh menyakitkan hati rakyat.
"Sampai bila beliau fikir yang kita perlu mengorbankan masa untuk melakukan 2 kerja," soalnya.
Muda dan bersemangat
Sementara itu Fadzley, 25 yang bekerja sebagai eksekutif di syarikat swasta berkata, beliau perlu mencari masa membolehkannya melakukan kerja keduanya, iaitu menjual kek.
Fadzley berkata pekerjaannya itu memerlukannya bekerja hampir 12 jam sehari di mana kadang-kala, beliau hanya boleh tidur jam 2 pagi sekiranya menerima tempahan untuk membakar kek pada hujung minggu.
"Kadang-kadang pelanggan mahu membeli kek pada hari biasa. Jadi selepas saya habis kerja saya akan bakar kek untuk menyiapkan tempahan.”
Fadzley yang tinggal di Keramat AU di Kuala Lumpur dan bekerja di Shah Alam berkata sudah tidak makan tengah hari kerana ingin menyimpan modal bagi perniagaan baharunya, iaitu menjual minuman.
"Sekiranya saya tidak buat kerja ini, saya tidak akan dapat menyimpan. Gaji saya hanya boleh menampung komitmen bulanan seperti pinjaman kereta, perjalanan ke tempat kerja dan pinjaman pendidikan," katanya.
Fadzley yang tinggal bersama keluarganya juga berkata akan membeli barang dapur bagi rumahnya sebagai sebahagian daripada tanggungjawab.
"Dengan keadaan ekonomi semasa, rakyat tidak ada pilihan selain melakukan kerja tambahan.
"Bagaimanapun, saya percaya melakukan 2 kerja itu adalah pilihan dan bukannya sesuatu paksaan yang perlu dilakukan," katanya.
sumber
No comments: