» » Harga minyak di Malaysia sepatutnya sama dengan harga minyak pasaran dunia


Sekian lama harga minyak di Malaysia diberikan subsidi, subsidi ditarik sepenuhnya mulai 1 Disember 2014.

Rakyat Malaysia dijanjikan harga minyak akan ditentukan mengikut harga pasaran dan sistem apungan terkawal (managed float) melalui Automatic Pricing Mechanism (APM).

Harga RON95 pada 1 Disember 2014 ditetapkan sebanyak RM2.26 seliter dengan harga minyak mentah Brent (Brent Crude Oil) berlegar sekitar RM233.72 setong dan kadar tukaran RM/ASD pada RM3.437/ASD.

Setahun kemudian, harga minyak mentah Brent jatuh kepada sekitar RM150.97 setong dengan kadar tukaran RM/ASD turut jatuh kepada sekitar RM4.32/ASD.

Namun, harga RON95 di Malaysia hanya turun RM0.31 kepada RM1.95.

Pemuda Amanah Wilayah kesal kerana dalam keadaan harga minyak mentah Brent menjunam sebanyak 35.4% (dengan mengambil kira kesan kejatuhan nilai RM), harga pasaran RON95 di Malaysia hanya diturunkan sebanyak 13.7%.

Kami maklum harga yang ditetapkan melalui APM adalah merujuk kepada harga Mean-of-Platts Singapore (MOPS), namun peratus penurunan harga minyak antara pelbagai harga rujukan seperti Brent dan MOPS seharusnya tidak banyak berbeza.

Jika harga pasaran minyak di Malaysia benar-benar dikira berdasarkan harga pasaran dunia, maka harga RON95 harus diturunkan sebanyak 35.4% (RM0.80) kepada RM1.46.

Dengan kadar harga sekarang, rakyat Malaysia sebenarnya dicukai sebanyak RM0.49 setiap kali mereka mebeli seliter RON95. Ini adalah suatu tindakan menzalimi rakyat yang sudah cukup terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi.

Selain RON95, kerajaan juga harus menurunkan harga diesel daripada RM2.23 pada 1 Disember 2014 kepada RM1.44 selari dengan harga pasaran minyak mentah dunia.

Penurunan harga diesel ini akan dapat memberi kesan langsung yang positif kepada kos pengangkutan barangan, sekali gus meringankan beban kos operasi syarikat yang semakin menyesakkan kini.

Ketiadaan ketelusan dalam proses pengiraan dan penentuan harga minyak ini menjadikan janji kerajaan untuk menikat harga minyak kepada harga pasaran dunia hanyalah omongan kosong.

Cadangan melakukan pelarasan lebih kerap juga tidak akan dapat membawa apa-apa manfaat kepada rakyat jika penetapan harga masih berdasarkan pengiraan sembarangan (arbitrary).

Sehubungan dengan itu, Pemuda Amanah Wilayah menuntut kerajaan menurunkan harga pasaran RON95 dan diesel sesuai dengan kadar pasaran dunia sebenar mulai 1 Januari 2016.

Kami juga menuntut agar setiap pengumuman perubahan harga minyak disertai dengan maklumat pengiraan yang digunakan bagi memastikan sistem penentuan harga yang telus dan adil. 



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .