» » Gesa kerajaan bekukan lesen bauksit Kuantan selepas insiden air sungai ‘merah’


PKR menggesa Putrajaya campur tangan dalam isu bauksit di Kuantan dan membekukan semua lesen syarikat berkaitan dengan segera.

Ketua Penerangan Pemuda PKR Lee Chean Chung berkata, tindakan tegas perlu diambil memandangkan kerajaan negeri Pahang seolah-olah tidak menyelesaikan isu tersebut.

"Rakyat Pahang sudah hilang keyakinan terhadap kerajaan negeri dan kebanyakan rakyat berpendapat kerajaan Pahang tiada keinginan untuk menyelesaikan isu pencemaran bauksit.

"Saya merasa amat terkesal dengan sikap kerajaan Pahang yang lalai dan tidak serius dalam mengendalikan isu pencemaran bauksit," katanya yang juga ketua biro alam sekitar PKR itu.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semambu itu, dengan pembekuan lesen eksport, segala aktiviti perlombongan akan dihentikan secara automatik.

"Tindakan segera boleh diambil untuk memulihkan bandar Kuantan yang dicemari dan dirosakkan aktiviti perlombongan bauksit ini.

"Adalah mustahil masalah pencemaran ini dapat diselesaikan dalam keadaan perlombongan masih diteruskan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, isu ini dibangkitkan sejak setahun yang lalu, tiada sebarang tindakan tegas kelihatan diambil kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu pencemaran bauksit.

"Isu pencemaran air yang dibangkitkan adalah perkara yang perlu dipandang serius dan perlu diselesaikan dengan segera sebelum kesihatan warga Kuantan terancam.

"Pencemaran air dan laut ini menimbulkan keraguan dan kerisauan warga Kuantan sama ada air paip yang menjadi sumber air minuman harian sudah tercemar, malah warga Malaysia akan hilang keyakinan terhadap ikan, udang dan sumber lautan lain yang ditangkap di sekitar Kuantan," katanya.

Semalam Bernama melaporkan, air Sungai Balok dan pantai berhampiran bertukar warna seakan-akan merah dipercayai dicemari bahan galian bauksit selepas hujan lebat seharian.

PKR turut menegaskan segala pembangunan dan aktiviti perlombongan harus dijalankan dengan syarat alam sekitar tidak dicemari.

"Rakyat tidak menentang pembangunan, tetapi segala pembangunan yang dijalankan haruslah menjadi pembangunan yang mampan dan sejajar dengan kelestarian alam sekitar," katanya.

sumber



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .