Insentif sepadan dan undang-undang rasuah yang ketat membolehkan usaha memerangi isu rasuah lebih efektif, kata seorang anggota Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR).
Prof Datuk Dr Engr Chin Yew Sin berkata insentif yang dimaksudkan adalah kadar gaji munasabah dan sesuai dengan kehendak dan keperluan semasa.
"Kita tengok di negara jiran, gaji anggota kabinet dan anggota pentadbiran cukup baik. Kadar gaji mereka adalah rekod dunia.
"Pada masa yang sama mereka juga menguatkuasakan undang-undang dengan ketat dan tegas. Mereka tidak tolak ansur.
“Jadi, kedua-dua komponen ini perlu berjalan secara serentak," katanya.
Chin berkata demikian pada sesi Dinner Talk Bersama Pegawai-Pegawai Kanan Sektor Pencegahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Skudai, Johor malam kelmarin.
PPPR adalah salah satu daripada lima badan bebas yang memantau perjalanan SPRM sejak tahun 2009.
Sementara itu, Chin juga berkata pihak berkuasa perlu memperlihatkan ketegasan kepada orang ramai tentang "bahaya dan buruknya jenayah rasuah."
"Ini seperti api. Macam mana takutnya orang ramai dengan api, kita juga perlu mewujudkan perasaan takut mengenai rasuah.
“Takut untuk beri rasuah dan takut untuk menerima rasuah," kata beliau.




No comments: