» » Buka lebih banyak pusat beli-belah digital seluruh Malaysia


Susulan pembukaan Mara Digital, pusat membeli-belah digital yang baru untuk peniaga Bumiputera sahaja, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu kedai seperti itu dibuka di seluruh negara bagi melahirkan lebih ramai usahawan Melayu dalam bidang teknologi maklumat (IT).

Katanya, beliau sedar kritikan yang dilemparkan sesetengah pihak terhadap Mara Digital, yang digelar "Low Yat 2", sambil menambah, beliau tidak peduli sekiranya tidak mendapat sokongan tetapi berharap usahanya itu tidak digagalkan.

Menulis di laman Facebook beliau hari ini, menteri kemajuan luar bandar dan wilayah itu berkata, beliau sangat mengharapkan sokongan orang Melayu.

"Walau apa pun halangan dan rintangan, ia tidak akan melemahkan semangat saya tetapi akan saya jadikan ini sebagai cabaran untuk perkuatkan lagi semangat saya bagi meneruskan usaha saya untuk membela usahawan Melayu/Bumiputra ini," tulisnya.

Mara Digital, yang terletak di tingkat tiga Bangunan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Kuala Lumpur, adalah idea Ismail berikutan pergaduhan di Low Yat Plaza pada Julai lalu selepas insiden kecurian telefon bimbit yang melibatkan dua belia Melayu.

Minggu lalu, beliau mengumumkan, untuk menarik pelanggan, Mara dengan mengecualikan sewa ke atas peniaga bagi tempoh 6 bulan pertama beroperasi dan peniaga diharapkan akan menjual barangan mereka pada harga yang lebih murah.

Tetapi hari ini, Ismail berkata, paling menyedihkan apabila ada di kalangan orang Melayu yang menghentam beliau mengenai Mara Digital itu.

"Saya dipersalahkan apabila beri pengecualian sewa 6 bulan kepada penyewa.

"Tujuan saya untuk kurangkan bebanan kepada penyewa sebab biasanya tempat baru perlukan masa untuk dikenali dan maju.

"Orang ini bimbang jika 'free rental', peniaga akan turunkan harga dan tentu akan beri saingan kepada peniaga-peniaga di 'mall' lain," katanya.

Katanya, perkara itu terserah kepada kebijaksanaan peniaga dalam menguruskan perniagaan masing-masing, tetapi beliau hairan ada pihak yang tidak suka apabila harga barang akan diturunkan.

"Sepatutnya kita suka 'free rental' untuk bantu orang Melayu, tapi saya dihina dan dicerca kerana nak tolong Melayu," katanya.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .