Bekas ahli Umno Langkawi Anina Saadudin tidak mempunyai hak undang-undang untuk memfailkan saman terhadap Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dan setiausaha kerja parti Datuk Ab Rauf Yusoh berhubung isu derma RM2.6 bilion, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini.
Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib dan Rauf berkata Anina bukan seorang pegawai awam Umno dan oleh itu tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan saman mengikut Seksyen 9(c) Akta Pertubuhan 1966.
"Plaintif bukan pegawai awam Umno yang diisytiharkan (sedemikian) dan didaftarkan Pendaftar Pertubuhan dan oleh itu tidak kompeten untuk memulakan tindakan ini terhadap defendan," hujah Hafarizam dalam permohonan Najib dan Rauf membatalkan saman Anina.
Beliau juga berhujah, Anina tidak mempunyai kedudukan undang-undang untuk mengekalkan saman itu kerana keahliannya dalam Umno gugur apabila memfailkan saman mengikut Perkara 20.7 Perlembagaan parti.
Sambil merujuk kepada keputusan hakim Mahkamah Tinggi minggu lepas, dalam satu lagi saman oleh Anina, keputusan menggugurkan keahlian Anina dalam Umno muktamad dan tidak boleh dipertikaikan dan tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah mengikut Seksyen 18C akta sama.
Hafarizam berkata mahkamah ini, oleh itu, tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar saman yang difailkan Anina berkaitan hal ehwal parti.
"Saman ini juga tidak menyatakan sebarang sebab munasabah untuk tindakan terhadap defendan, dan oleh itu ia mendedahkan defendan kepada skandal, bersifat remeh dan menyalahgunakan proses mahkamah yang harus dibatalkan mahkamah ini," kata Hafarizam ketika berhujah di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Anina pula berhujah anak guamnya memfailkan tindakan derivatif terhadap defendan atas nama Umno, untuk dan bagi pihak Umno dan ahlinya, seperti dibenarkan di bawah undang-undang.
"Justeru, walaupun jika keahliannya dalam Umno ditamatkan, ia tidak menghalang tindakan yang sudah difailkan Anina. Saman ini khusus menangani salah laku defendan pertama, seperti dinyatakan dalam pernyataan tuntutan.
"Pada peringkat ini, adalah jelas ini bukan kes biasa dan jelas untuk terus dibatalkan," katanya.
Mahkamah menetapkan 31 Disember untuk keputusan terhadap permohonan Najib dan Rauf.
Pada 28 Ogos, Anina memfailkan saman terhadap Najib dan Rauf, antara lain bagi menuntut sebahagian daripada derma RM2.6 bilion (US$650 juta) yang dikatakan dimasukkan presiden parti ke dalam akaun peribadinya di Singapura.




No comments: