» » Rakyat Malaysia beri bantuan makanan pelarian Syria


Berbekalkan €1,000 (RM4,700), tiket penerbangan ditaja dan idea untuk membantu pelarian Syria, Rayyan Haries menuju ke Greece dan menubuhkan dapur jalanan yang buat pertama kali ditubuhkan di utara pulau Lesbos, lapor laman web Mashable.

Anak Malaysia berusia 25 tahun itu menuju ke Greece selepas melihat foto jenazah Aylan Kurdi, anak kecil warga Syria yang terdampar di sebuah pantai Turki pada September dan mendedahkan rancangannya di Facebook.

"Dia sebesar anak saudara saya. Dia boleh jadi anak saudara saya," beliau dipetik sebagai berkata.

Setelah berjaya mengumpulkan €1,000, Rayyan kini menguruskan dapur sementara itu di Skala Sikaminea, sebuah perkampungan kecil di pantai pulau Greece itu.

Kampung berkenaan, kata laporan itu, menerima sehingga 2,000 pelarian setiap hari.

"Mereka ini melalui perjalanan yang sangat sukar. Anda tahu, tidak perlukan banyak untuk memberi makan kepada orang, saya hanya ingin memasak untuk mereka."

Dia menyediakan secawan teh panas, manis seperti digemari orang Syria, dan sup dihidangkan di dalam bekas styrofoam, penuh dengan sayur-sayuran tempatan serta rempah dan sandwic.

Seramai 2,000 pelarian tiba setiap hari di Skala Sikaminea di Greece, di mana Rayyan Haries membantu memasak bagi mereka. – Gambar Facebook Rayyan Haries, 10 November, 2015.

"Makanan adalah harapan, dan walaupun selepas semua ini (pelayaran menaiki bot), ke mana sahaja pelarian pergi, Sweden, Jerman, destinasi akhir begitu jauh dari sini.

"Ia amat sukar, dan kita mahu mereka terus mempunyai harapan untuk meneruskannya,” Mashable memetik kata-katanya.

"Saya hanya di sini untuk memasak bagi mereka, memastikan makanan panas, lazat berkhasiat dihidangkan setiap hari. Itu sahaja yang saya mahu lakukan."

Mempunyai minat mendalam terhadap makanan, Rayyan merakamkan penghargaan kepada ibunya yang membenarkan dia membantu di dapur, membolehkan beliau mempunyai kualiti tersebut.

Dia kini semakin dikenali di kampung itu kerana komitmen yang ditunjukkan kepada pelarian.

Dalam masa sama, Rayyan masih bekerja sepenuh masa sebagai pakar strategi digital dan perlu bangun pukul 5 pagi setiap hari memulakan persiapan untuk dapur jalanan itu.

Mashable berkata, dapur Rayyan ditutup pada tengah malam pada hari yang menerima ramai kunjungan.


Walaupun sedih menyaksikan sendiri kengerian dialami pelarian yang merentas Laut Aegean, ia juga menjadi pendorong kepada dirinya.

"Kita bercakap tentang hidup seorang insan lain, yang sama seperti anda, mempunyai hati yang sama, darah merah yang sama, yang cuba menyelamatkan dirinya," katanya.

Perjalanan dari Syria melalui Laut Aegean adalah sukar, dan ramai pelarian meninggal dunia semasa dalam perjalanan itu.

Minggu lalu, 29 orang meninggal dunia selepas beberapa bot karam di pulau itu. Ramai yang masih hilang.

Pada hari-hari apabila tidak ramai pelarian tiba, Rayyan membawa brownies untuk sukarelawan lain di kampung di pulau Lesbos, yang menjadi tuan rumah kepada lebih 200,000 pelarian setakat tahun ini.

"Ada sesuatu tentang makanan yang boleh menenangkan. Makanan sentiasa memberi harapan dan saya hanya mahu memberi harapan kepada orang lain. Itu perkara paling penting dalam hidup."

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .