Kertas siasatan terhadap bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang melibatkan dakwaan fitnah akan dihantar kepada pendakwa raya dalam tempoh dua minggu akan datang, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim, menurut Astro Awani.
Noor Rashid dilaporkan memberitahu media hari ini, kertas siasatan itu akan disiapkan "secepat mungkin, mungkin dalam satu atau dua minggu".
"Kita ada buka kertas siasatan terhadap Dr Mahathir berhubung beberapa insiden, termasuk perhimpunan Bersih 4.
"Dan, tujuan merakamkan keterangan Dr Mahathir pada semalam adalah sebagai usaha melengkapkan dan mengkaji siasatan, sebelum kita merujuk kepada Pejabat Pendakwa Raya.
"Kertas sisatan ini akan disiapkan secepat mungkin. Mungkin dalam seminggu atau dalam dua minggu," beliau dipetik berkata portal badan penyiar itu.
Noor Rashid ditanya mengenai perkembangan dalam siasatan polis terhadap Dr Mahathir berikutan soal siasat yang dijalankan di pejabat bekas perdana menteri itu di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur, semalam.
Polis menghabiskan kira-kira 45 minit menyoal Dr Mahathir yang memberitahu pemberita kemudiannya, beliau enggan menjawab soalan yang dikemukakan.
Pemimpin veteran Umno itu turut berkata beliau menyerahkan kepada polis sama ada untuk menahan beliau atau tidak.
Dr Mahathir menghadiri perhimpunan Bersih 4 pada Ogos yang menuntut pembaharuan demokrasi dan peletakan jawatan Najib berhubung dakwaan skandal kewangan melibatkan dana pelaburan milik negara 1Malaysia Development Bhd (1MBD).
Bagaimanapun, Noor Rashid dilaporkan Astro Awani berkata, rakaman keterangan yang diambil ke atas Dr Mahathir semalam tiada kaitan dengan skandal kontroversi 1MDB, yang sering menjadi bahan kritikan bekas perdana menteri itu.
"1MDB siasatan lain, dan tiada kaitan dengan proses pengambilan percakapan daripada Dr Mahathir. Ia tiada kaitan dengan 1MDB," beliau dipetik berkata.
sumber




No comments: