» » Penggiat zapin kecewa Johor tidak lagi martabatkan tarian zapin


Disebabkan seni tarian zapin di Johor semakin menyepi, dua penggiat seni yang juga jurulatih tarian itu merayu agar kerajaan negeri lebih prihatin terhadap nasib tarian tradisional warisan turun-temurun itu.

Iskandar Shah Abdullah yang berpengalaman mengajar zapin hampir 18 tahun kecewa kerana tarian berasal dari negara Timur Tengah itu tidak lagi dimartabatkan di negeri Johor.

"Ini tarian yang perlu terus dimartabatkan. Kenapa kini makin menyepi? Ia berbeza apabila kita lihat sewaktu Tan Sri Abdul Ghani Othman menjadi menteri besar Johor, beliau naikkan seni budaya zapin dan ghazal tetapi kini, di bawah Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, ia semakin hilang.

"Kini apabila tiada lagi di bawah beliau (Ghani), kurang aktiviti melibatkan zapin, terutamanya di sekolah-sekolah," kata Iskandar, 41, yang juga aktivis tarian zapin Johor kepada The Malaysian Insider apabila ditemui baru-baru ini.

Bersetuju dengan perkara itu, Nur Irwani Abidin kecewa kerana zaman kegemilangan Festival Zapin Johor seperti tahun 1997 tidak lagi dimartabatkan.

"Saya masih ingat masa zaman kegemilangan zapin tahun 1997. Zapin Nusantara. Masa itu memang tengah gemilang.

"Setiap sekolah disuruh hantar wakil zapin. Semua kena ada kumpulan zapin.

"Dan masa itu juga setiap tahun kita adakan bengkel zapin," kata Irwani, 35, yang sudah berpengalaman mengajar zapin lebih 10 tahun di Johor.

Menurut Irwani, semenjak Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, tiada lagi Festival Zapin seperti tahun sebelumnya.

"Sudah 3 tahun, tiada festival zapin. Kalau dahulu, setiap tahun ada.

"Peruntukan untuk seni budaya zapin pun banyak tidak seperti sekarang," kata Irwani yang kecewa Umno kini tidak lagi memartabatkan seni tarian itu.

Penari zapin dianggap ‘pondan’

Mengakui masyarakat memberi tanggapan buruk terhadap seni tarian tradisional itu, Iskandar menegaskan tarian zapin dicipta kaum lelaki dan merupakan satu aktiviti riadah puluhan tahun dahulu.

"Zapin kalau diikutkan daripada sejarah, berasal dari tanah Arab. Pedagang Arab yang bawa tarian ini sewaktu berdagang di Selat Melaka.

"Zapin juga pernah dibawa ke Istana dan ia bersama diasaskan lelaki. Jadi masyarakat, terutamanya lelaki, perlu faham menari zapin bukan bererti anda pondan atau lelaki lembut," katanya yang mengakui semakin sukar mencari pelapis penari lelaki di peringkat sekolah kerana persepsi sedemikian.

Disebabkan itu, menurut Iskandar, penggiat zapin di Johor tidak mahu melihat warisan itu dilupakan pada masa akan datang.

Katanya, bagi mereka, sesiapa sahaja yang berkuasa, tarian zapin perlu dikembang dan dipraktikkan agar tidak hilang daripada ingatan generasi muda.

"Harapan kita kalau warisan zapin jangan ditinggalkan. Kita hendak tarian zapin dikekalkan di bawah parti politik mana sekalipun.

"Ia perlu dijaga sejak dari peringkat sekolah rendah.

"Kekalkanlah warisan ini agar ia tidak putus ditelan dek zaman,” kata Irwani yang kecewa kerana majlis berkaitan zapin di Johor semakin berkurangan dari tahun ke tahun.

sumber



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .