Peguam negara perlu memberikan penjelasan kenapa Pengerusi National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dibebaskan daripada pertuduhan di Mahkamah Tinggi semalam, kata peguam Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamed Hanipa Maidin.
Hanipa berkata, laporan awal menunjukkan timbalan pendakwa raya sudah membuat permohonan untuk dilepaskan tetapi tidak dibebaskan tetapi kemudian bersetuju dengan permohonan peguam defendan Tan Sri Muhammad Shafee Abdulllah dan bersetuju dibebaskan.
Ini bermakna, Salleh tidak boleh didakwa di bawah kesalahan yang sama lagi.
"Dan dengan bersetuju dengan peguam defendan, pendakwa tidak boleh merayu.
"Jadi kita menuntut penjelasan peguam negara kenapa dia menarik balik pendakwaan dan bersetuju dengan pembebasan," kata Hanipa kepada media di lobi Parlimen, hari ini.
Rakannya Dr Mohamad Hatta Ramli (Amanah-Kuala Krai) berkata beliau berharap peguam negara mempunyai rancangan lain untuk mendakwa Salleh.
"Untuk bersangka baik, saya berharap peguam negara akan berkata, dia mempunyai pelan untuk mendakwa pengerusi NFCorp atas kesalahan lain," kata Dr Hatta.
Salleh, 66, yang juga pengarah NFCopr, didakwa dituduh melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang RM9,758,140 melalui 4 keping cek NFCorp untuk membiayai sebahagian pembelian 2 unit kondominium kompleks One Menerung di Kuala Lumpur.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu antara 1 dan 4 Disember 2009 di CIMB Islamic Bank Bhd, Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr Ismail.
Dia juga dituduh melakukan kesalahan sama dengan memindahkan wang RM40 juta melalui 1 cek, antara 6 Mei dan 16 November, 2009, ke dalam akaun syarikat National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd yang beliau dan seorang daripada anaknya adalah pemilik syarikat berkenaan.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.
Salleh juga menghadapi 2 lagi pertuduhan berkaitan menggunakan dana syarikat tanpa kelulusan mesyuarat agung tahunan syarikat untuk membuat sebahagian daripada pembayaran bagi pembelian unit kondominium.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 132(2)(a) Akta Syarikat 1965, memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM30,000.
Dilaporkan Hakim Mahkamah Sesyen Norshahidah Awang membenarkan permohonan Shafee beliau diberikan pembebasan penuh mengikut Seksyen 254 Kanun Acara Jenayah.
Meskipun terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir meminta Salleh diberikan dilepaskan tetapi tidak dibebaskan sebagai respons kepada surat representasi yang dihantar ke Pejabat Peguam Negara pada September.
Hakim memberikan kebenaran membebaskan dalam kamarnya.
Terdahulu hari ini, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata beliau mengesyaki kelulusan retrospektif Putrajaya terhadap pembelian kondominium itu mungkin alasan Salleh diberikan pembebasan.
No comments: