Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kurang berpuas hati dengan prestasi kewangan dan akauntabiliti kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri berikutan Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 2014.
PAC juga akan memanggil 7 kementerian untuk memberi keterangan berkaitan projek di bawah seliaan mereka, kata Pengerusinya Datuk Hasan Ariffin hari ini.
Beliau berkata berdasarkan laporan itu, secara keseluruhannya PAC menyimpulkan prestasi kerajaan pada tahun lepas menurun berbanding 2013.
"Jumlah agensi kementerian persekutuan termasuk jabatan persekutuan dan badan berkanun persekutuan yang mendapat penarafan 4 bintang (Sangat Baik) menurun pada 2014 iaitu 60 berbanding 68 pada 2013.
"Bagi penarafan 3 bintang (Baik), jumlah agensi kementerian persekutuan termasuk jabatan persekutuan dan badan berkanun persekutuan menurun daripada 72 pada 2013 kepada 70 tahun ini," katanya.
Terdahulu, PAC mendengar taklimat Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang mengenai laporan itu, yang turut dibentangkan di Parlimen hari ini.
Hasan berkata 7 kementerian yang dipanggil ialah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berkenaan pengurusan subsidi beras ST15, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk program pembangunan sosioekonomi masyarakat orang asli dan Kementerian Pendidikan untuk pengurusan projek pembinaan sekolah menengah kebangsaan agama dan kemudahan lain yang berkaitan di Sarawak.
"Selain itu, PAC akan memanggil Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Kesihatan berkaitan projek naik taraf Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, Kementerian Dalam Negeri untuk pengurusan Kuarters Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Kementerian Pertahanan untuk projek pembinaan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional Putrajaya," katanya.
Katanya semua kementerian itu akan dipanggil bermula Februari tahun depan selepas siasatan terhadap isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) selesai.
Dalam pada itu, Hasan berkata PAC mahu semua kementerian, jabatan, agensi kerajaan persekutuan termasuk negeri memperkasa Unit Audit Dalaman dalam usaha mengelakkan ketirisan, penyelewengan dan salah guna kuasa.
"PAC juga berpendapat sesi “townhall” yang diadakan ketua setiausaha negara bersama semua ketua setiausaha kementerian perlu diadakan dengan lebih kerap," katanya.
sumber




No comments: