Selain 9 ketua cawangan Teluk Kemang yang akan dipanggil Lembaga Disiplin Umno kerana menggesa Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengatakan lebih ramai bakal berdepan tindakan.
Setiausaha agung Umno itu berkata, parti Melayu itu tidak memerlukan ahli yang hanya mahu menghancurkan parti.
"Ramai lagi yang akan dibawa ke jawatankuasa disiplin, ketua cawangan ini semua akan saya bawa ke jawatankuasa disiplin sebab tak ada disiplin.
"Saya perlu orang yang berdisiplin dalam parti. Lebih baik tak ramai ahli tetapi komited, daripada ramai ahli yang beragenda menghancurkan negara dan juga menghancurkan parti. Itu pendirian saya," katanya pada sidang media selepas Konvensyen Kebangsaan Kesejahteraan Sosial Komuniti Bandar: Ke Arah Pengukuhan Agenda Berpaksikan Rakyat di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai tindakan ketua cawangan yang mendesak Najib meletakkan jawatan sebagai presiden Umno.
Katanya, gesaan daripada ketua Umno cawangan itu merupakan kenyataan individu itu sendiri dan bukannya suara cawangan.
“Kalau ikut perlembagaan, dia mesti melalui mesyuarat dua pertiga jawatankuasa cawangan, lepas itu bawa usul tak setuju kepada presiden umpamanya. Usul itu dibawa ke mesyuarat cawangan dan dua pertiga mesti hadir, dah lulus bawa ke bahagian, dan bahagian akan menentukannya.
“Sekarang ini, bila kata ada yang diguna pakai atau diberi duit dan sebagainya, mereka marah kepada saya.”
Sabtu lalu dilaporkan, ketua Umno cawangan melancarkan satu gerakan bagi memaksa Najib meletakkan jawatan sebagai presiden dengan segera supaya parti Melayu itu tidak “dirosakkan” dengan lebih teruk.
Menamakan gerakan itu sebagai Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM), mereka mahu presiden Umno itu segera meletak jawatan bagi menyelesaikan kemelut yang melanda parti ketika ini.
Salah seorang jurucakap kumpulan itu, Kamarul Azman Habibur Rahman, yang juga ketua Umno cawangan Taman TKK berkata, beliau juga menafikan dakwaan kumpulan ketua cawangan yang menentang Najib ditaja dan diupah.




No comments: