» » Adakah SPRM dibenar gunakan kuasa penuh dan bebas ketika soal-siasat Najib Razak berkaitan skandal 1MDB dan RM2.6 bilion ?


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hendaklah terlebih dahulu menentukan sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah seorang suspek atau saksi sebelum merekodkan keterangan beliau bagi membantu siasatan dalam kes wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau, kata seorang wartawan veteran.

Datuk A Kadir Jasin, bekas ketua pengarang New Straits Times Group berkata, jawapan kepada soalan itu akan menentukan bentuk soalan apabila Najib dipanggil badan anti-rasuah itu bagi memberi keterangan.

"Apakah status Najib dalam siasatan itu? Adakah beliau seorang saksi atau suspek?"
beliau menulis dalam posting terbaru di blognya malam tadi.

"Ini penting kerana ia menentukan susun atur soal siasatan itu nanti. Sudah tentu, saksi boleh berkesudahan sebagai suspek, dan suspek juga akhirnya boleh menjadi saksi utama."

Kenyataan beliau dibuat susulan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali memberitahu The Malaysian Insider dalam satu temu bual eksklusif, SPRM mempunyai sehingga akhir tahun ini untuk merakamkan kenyataan Najib berhubung wang "derma" yang diterimanya itu.

Mengambil contoh kes berprofil tinggi yang disiasat SPRM, termasuk skandal berkaitan bekas anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB), SRC International Sdn Bhd, Kadir mendakwa tidak ada apa yang boleh menghalang pihak berkuasa daripada cuba menutup kesalahan mereka dengan menyalahkan 'kambing hitam'.

"Orang seperti Nik Faisal Ariff Kamil dan Datuk Suboh Mohd Yassin, yang dikaitkan dengan kes SRC International, begitu senang dikorbankan," katanya.

Kadir berkata, pengakuan Apandi yang mengarahkan SPRM menyiasat Najib walaupun mungkin ikhlas mahu ia dilakukan, masih menimbulkan persoalan sama ada ia benar-benar bebas menjalankan penyiasatan.

"Persoalan besar di sini ialah adakah SPRM akan diberi mandat melakukan lebih sekadar dari merekodkan keterangan Najib?

"Adakah ia akan dibenarkan mengunakan kuasanya sebebasnya menyiasat perdana menteri?" soalnya.

Katanya terdapat perbezaan besar di antara sekadar merekodkan keterangan dan menjalankan soal siasat ke atas perdana menteri.

Sebelum ini, The Malaysian Insider melaporkan Apandi mengakui mengeluarkan arahan kepada SPRM dengan memberi tempoh hingga akhir tahun ini untuk merakamkan kenyataan Najib berkenaan wang RM2.6 bilion yang diterimanya, sambil menambah siasatan terhadap derma kontroversi itu juga mesti dimuktamadkan sebelum tempoh itu.

Beliau mengarahkan agensi anti rasuah itu melengkapkan siasatannya terhadap bekas anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB), SRC International dan derma RM2.6 bilion itu sebelum akhir tahun ini kerana beliau mengambil serius kebimbangan orang ramai.

Pada masa sama, Kadir menyatakan keyakinan peguam negara itu mengetahui situasi sebenar berhubung skandal tersebut yang diterjemahkan melalui arahan tersebut.

"Secara peribadi, saya percaya selepas melihat kesemua fail dan bercakap dengan penyiasat kes 1MDB, SRC International dan 'derma' RM2.6 bilion itu, beliau sekarang mengetahui hal sebenar dan mula menyedari keseriusan situasi itu.

"Beliau juga pastinya menyedari setiap langkahnya kini dipantau rapat dan dihakimi rakan sejawatnya.

"Sebagai bekas hakim, beliau mengetahui keadilan bukan perlu sahaja perlu dilaksanakan namun harus dilihat dilaksanakan," katanya.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .