» » Undang-undang baharu dirangka untuk kawal vape atau rokok elektrik


Putrajaya bakal merangka undang-undang baharu membabitkan penggunaan rokok elektronik atau vape, shisha dan tembakau, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Hilmi Yahya hari ini.

Katanya, buat masa ini, terlalu awal untuk mengatakan kerajaan akan mengharamkan penggunaan vape seperti diperkatakan beberapa pihak sebelum ini.

“Kami sekarang sedang dalam perbincangan untuk mewujudkan undang-undang baharu melibatkan tembakau, vape dan juga shisha. Undang-undang baharu yang mana, kita akan tentukan nanti.

“Sekarang kami sedang menjalankan perbincangan melibatkan isu ini. Masih terlalu awal untuk mengatakan kami akan mengharamkan vape sepenuhnya," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Dr Hilmi berkata, undang-undang sedia ada membabitkan tembakau tidak melibatkan vape dan shisha.

“Undang-undang sekarang yang melibatkan tembakau tertakluk di bawah Akta Makanan 1993. Itu tidak cukup kuat sebab ia tak melibatkan vape dan juga shisha.

“Kita akan wujudkan undang-undang baharu. Kita masih belum putuskan sama ada untuk mengawal atau mengharamkan sepenuhnya. Masih terlalu awal untuk bercakap mengenai itu," katanya.

Beliau berkata, sekiranya vape diharamkan, rokok juga akan dikenakan tindakan sama kerana kedua-duanya mengandungi nikotin.

“Sebab kalau kita nak haramkan vape, kita juga kena haramkan rokok, sebab vape juga mengandungi nikotin.

“Jadi, kalau kita haramkan vape, apa pula tindakan untuk tembakau? Itu isunya di sini,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Hilmi berkata, kajian secara holistik perlu dijalankan sebelum sebarang keputusan diambil.

“Kita akan kaji betul-betul perkara ini dan kita akan keluar dengan keputusan nanti.

“Sama macam tembakau, kita hentikan iklan yang berkaitan, tetapi di kedai-kedai mamak dan kedai-kedai lain, mereka letakkan rokok di belakang kaunter. Itu dari aspek iklan.”

Beliau juga berkata, setakat hari ini, tiada halangan untuk penjualan bagi vape selagi belum ada undang-undang diperuntukkan mengenainya.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .