» » Penganut syiah berdepan tindakan tegas



Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memberi amaran akan bertindak tegas terhadap sesiapa di negeri itu yang terlibat dengan fahaman Syiah kerana ia terbukti menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

Pengarah Jais Datuk Haris Kasim berkata ia selaras dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 17 Oktober, 2013 fahaman berkenaan bercanggah dengan ajaran Islam mengikut pandangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Mana-mana individu yang didapati mengamalkan ajaran dan fahaman Syiah boleh diambil tindakan kerana melakukan kesalahan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa di Selangor dan jika sabit kesalahan boleh didenda atau hukuman penjara," katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata Jais akan terus memantau kegiatan penganut fahaman itu menerusi operasi bersepadu yang dijalankan dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama pada sambutan Hari Karbala, acara yang disambut setiap tahun oleh penganut Syiah pada 10 Muharam.

Mengulas lanjut, Haris berkata fahaman Syiah diharamkan kerana ajarannya menyeleweng, menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar serta boleh menimbulkan bahaya dan perpecahan kepada umat Islam.

Haris berkata, terdapat 22 elemen yang dikenal pasti terkandung dalam fahaman Syiah dan diwartakan menyeleweng oleh jawatankuasa berkenaan.

Antaranya ialah mempercayai kemunculan Muhammad bin Hassan Al-Aksari sebagai Imam Mahdi bersama kumpulan orang yang sudah mati untuk memberi keadilan; mempercayai hanya Saidina Ali saja yang menghimpun Al-Quran dengan sempurna dan menyamakan taraf Saidina Ali dengan Allah.

Haris menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan penganut Syiah segera membuat aduan kepada Bahagian Penguatkuasaan Jais di talian 1800-88-2424 untuk tindakan lanjut.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .