Jika ada yang perlu meletak jawatan disebabkan konflik kepentingan berkaitan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB), perdana menteri merupakan orangnya kerana beliau terlibat secara langsung dalam skandal itu, kata Tony Pua.
Setiausaha publisiti DAP itu berkata ini kerana Datuk Seri Najib Razak menandatangani semua transaksi utama yang dijalankan 1MDB.
"Dalam keadaan itu, pasti ada konflik kepentingan yang besar apabila Najib mempunyai pengaruh secara langsung ke atas proses siasatannya," kata Pua dalam kenyataan hari ini.
Ia dibuat selepas Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy menyahut cabarannya berdebat secara langsung di televisyen, tetapi dengan syarat ahli Parlimen itu terlebih dahulu meletak jawatan sebagai ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Saranan Arul disokong Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, yang juga menggesa Pua meletak jawatan kerana faktor konflik kepentingan.
Tetapi, ahli Parlimen Petaling Jaya Utara mempersoalkan bagaimana konflik timbul sedangkan beliau tidak mempunyai kaitan dengan 1MDB yang kini disiasat.
"Sebaliknya, jika hujah Nazri ialah, seseorang itu mesti 'meletak jawatan' bagi mengelak konflik kepentingan, pastinya orang itu ialah Najib sendiri.
"Perdana menteri yang juga menteri kewangan, secara langsung terlibat dalam skandal 1MDB.
"Khususnya, beliau secara peribadi meluluskan dengan secara bertulis semua transaksi utama yang dijalankan 1MDB.
"Dalam keadaan itu, pasti ada konflik kepentingan yang besar apabila Najib masih mempunyai pengaruh langsung ke atas proses penyiasatan. "
Pua berkata, tidak ada undang-undang atau peraturan yang menghalang beliau sebagai seorang ahli Parlimen dari mencari jawapan sama ada melalui PAC atau di luar jawatankuasa itu.
Katanya, Arul sepatutnya gembira apabila berpeluang berdebat secara langsung dengannya supaya dapat menjawab segalanya tentang 1MDB secara terbuka dan jujur.
Sebaliknya, Pua berkata, presiden itu berpura-pura menerima cabaran itu tetapi meletakkan syarat tidak masuk akal dengan menuntutnya meletak jawatan PAC terlebih dahulu.
Pua juga berkata, ini bukan kali pertama Arul dan menteri Barisan Nasional menggesa beliau berundur daripada jawatankuasa Parlimen itu.
"Nampaknya, keutamaan mereka ialah memastikan PAC tidak akan mendapat manfaat daripada pengetahuan dan kefahaman saya mengenai penipuan dalam 1MDB.
"Arul tentunya percaya jika saya dikeluarkan daripada PAC, mereka yang lain dalam PAC, khususnya 8 wakil BN itu, akan mudah ditipu, menyebabkan laporan 1MDB yang dikeluarkan kelak tidak sekuat mana."
Pua berkata peranannya sebagai ahli PAC tidak pernah dicabar sehingga ke tahap ini sepanjang tempoh 7 tahun beliau menganggotainya.
sumber
No comments: