Beliau yang juga menteri kewangan berkata, Putrajaya mengambil langkah itu kerana pendapatan hasil petroleum negara menyusut akibat penurunan harga minyak di pasaran yang merupakan satu situasi di luar jangkaan.
"Senario ini di luar kawalan kita tetapi syukur kita dapat menampung kerugian hasil kerajaan kerana kita berani memperkenalkan GST.
"Walaupun orang kata GST tak popular, tetapi hakikatnya GST penyelamat ekonomi negara kita.
"Dan kalau ekonomi merudum rakyat akan menanggung kesusahan yang amat perit kerana antaranya kadar pinjaman naik lebih tinggi lagi dan setiap kita yang meminjam duit untuk kereta, rumah dan kredit kad terpaksa membayar kos lebih tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkas sebelum merasmikan Menara Sentrum 1 dan pusat beli-belah NU Sentral milik Pelaburan Hartanah Berhad di Kuala Lumpur petang ini.
"Jadi kita mesti faham keadaan sebenarnya dan kalau kita lihat sepintas lalu kita mungkin tak sedar keputusan kerajaan dilihat sebagai tak patut dan menyusahkan rakyat.
"Hari ini terbukti, GST satu langkah yang amat tepat dan wajar sekali."
Kenyataan ini dibuat sewaktu pembangkang hari ini mendakwa Najib memboroskan wang negara dengan belanja jet peribadinya, Airbus ACJ320, yang dianggarkan sebanyak RM40.8 juta bagi tempoh 6 bulan sejak dibeli pada April lalu.
Setiausaha agung PKR Rafizi Ramli berkata, anggaran kos itu meliputi kos sewa jet, kos penyenggaraan, operasi dan pengurusan serta kos perjalanan ke luar negara perdana menteri.
Najib dalam pembentangan Bajet 2016 pada 23 Oktober lalu mengumumkan kerajaan setakat ini mengutip RM27 bilion daripada GST.
Bagi 2016, kerajaan mengunjurkan kutipan GST sebanyak RM39 bilion, kata Najib.
Dalam ucapan sama petang ini, Najib turut mengulangi kenyataannya sebelum ini yang membidas bajet bayangan yang dihasilkan pembangkang yang menurutnya turut mengunjurkan pendapatan daripada GST yang ditentang mereka selama ini.
"Jadi nampaknya pembangkang ini ikut keadaan dan musim semasa. Apabila senang mereka akan kata ya, apabila susah, mereka akan kata tidak ('when it is convenient they say yes, when it is not, they will say no')," katanya.
sumber
No comments: