Mustahil jika sebahagian wang 1MDB berjumlah RM42 bilion dimasukkan ke dalam poket seseorang kerana terdapat lima agensi yang sedang memerhatikan syarikat pelaburan strategik negara.
Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berkata, keadaan itu sukar berlaku kerana setiap sen perbelanjaan 1MDB dimasukkan ke dalam penyata kewangan.
“Tiada suatu perkara pun mengenai 1MDB yang disembunyikan. Dan jika ada sebarang cubaan untuk berbuat demikian, ia adalah mustahil. Ini kerana ada lima agensi siasatan yang sedang memerhati 1MDB – Bank Negara, Jabatan Audit Negara, polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.
“Kesemua agensi ini diberi maklumat tentang syarikat ini…apa yang berlaku dalam 1MDB. Siasatan ini sedang diteruskan. Kami akan beri kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa yang sah itu,” katanya dalam program khas bersama Bernama TV pada Rabu.
Arul berkata, pada Jun lalu, 1MDB telah menjelaskan dengan setepatnya ke mana dana itu digunakan yang merupakan pelaburan bercampur, pembelian aset tenaga dan pembelian tanah.
“Setiap sen daripada hutang kami telah diambil kira. Ia boleh disahkan dengan menyemak penyata kewangan kami,” katanya.
Beliau berkata penyata kewangan 1MDB dibentangkan kepada orang ramai melalui laman sesawang Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan penyata ini boleh dimuat turun.
“Akaun kami sangat jelas. Kami boleh tunjukkan ke mana perginya dana berhubung operasi syarikat ini,” katanya.
No comments: