Seorang murid perempuan berusia 12 tahun dipercayai menjadi mangsa nafsu buas kakitangan awam, seorang bergelar pendidik apabila nenek mangsa membuat laporan polis mendakwa cucunya telah dirogol.
Ketua Polis Daerah Kanowit DSP Ismail Mahmood ketika dihubungi mengesahkan menerima satu laporan berhubung kes tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
“Seorang suspek lelaki berumur 39 tahun telah ditahan Sabtu lalu dan direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan polis,” katanya.
Katanya hasil siasatan lanjut mendapati perbuatan terlarang tersebut dikatakan berlaku di asrama sekolah berkenaan tempat murid terbabit tinggal.
“Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan selepas nenek mangsa membuat aduan pada 21 Oktober lalu,” katanya.
Insiden tersebut mula terungkai apabila pengadu yang berusia 63 tahun, tidak berpuas hati setelah terdengar khabar angin bahawa cucunya sudah pandai bermain cinta dengan seorang guru yang dipertanggungjawab menjaga murid di asrama sekolah berkenaan.
Bimbang sesuatu tidak diingini berlaku, pengadu mula mencari jawapan sehingga cucunya membuka rahsia bahawa dia telah dinodai suspek selepas peperiksaan UPSR September lalu.
Susulan itu, murid berkenaan dibawa ke Hospital Sibu untuk menjalani pemeriksaan perubatan dan terdapat kesan koyakan lama pada alat sulit mangsa.
Ismail berkata pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci dan tidak menafikan bahawa punca jenayah rogol berlaku disebabkan kegagalan mengawal nafsu.
Difahamkan, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah dimaklumkan mengenai kes tersebut.
No comments: