Tan Sri Muhyiddin Yassin diberitakan kecewa kuasa beliau selaku timbalan presiden Umno semain terhakis.
Contoh, mesyuarat penting parti yang secara tradisinya dipengerusi timbalan presiden Umno kini dijalankan tanpa dikendalikan beliau.
Namun semua itu sudah diramalkan sejak beliau dilucutkan jawatan timbalan perdana menteri Julai lalu.
Malah blogger Umno (yang dituduh anti Umno) Shahbudin Husin awal-awal lagi menjangka pimpinan tertinggi parti akan terus memperkecil dan memencilkan Muhyiddin sambil mengizinkan beliau kekal sebagai timbalan presiden.
Dalam erti kata lain, seorang timbalan presiden yang dipeti sejukkan.
Kawan-kawan lama Muhyiddin yang kini mempunyai kuasa dalam Umno dan kerajaan kerap menegur keras beliau.
Lebih tepat lagi – menyerang beliau.
Serangan juga datang daripada pihak lain, khususnya portal pro Najib, MyKmu.net.
Terbaru, Muhyiddin dituduh mendorong guru sekolah membenci kerajaan akibat projek Internet sekolah 1BestariNet yang dikatakan membebankan golongan pendidik.
Kini, kedengaran spekulasi timbalan presiden tidak akan berucap merasmikan serentak mesyuarat ketiga-tiga sayap parti pada perhimpunan agung Umno Disember ini. Ini juga tradisi Umno.
Secara peribadi, saya rasa ia akan dikekalkan dan Muhyiddin akan merasmikanya. Itu mengikut logik. Wallahualam. Dalam Umno semua boleh terjadi.
Buat masa ini, Muhyiddin masih diizinkan bercakap apa sahaja. Lantas Muhyiddin terus mengkritik dan menegur apa yang dilihat beliau sebagai kepincangan yang melanda negara akibat kepimpinan kerajaan.
Tetapi kata beliau, “Saya seorang sahaja yang speak up. Apa yang lain buat?”
Jelas Muhyiddin merasa keseorangan dalam perjuangan dan kecewa serta sedih (mungkin juga marah?).
“Orang Umno tidak bersuara walaupun dalam keadaan negara begini - ekonomi muram dan politik tidak menentu.
“Semua penakut, takut hilang jawatan,“ Muhyiddin dipetik berkata baru-baru ini.
Ada benar apa yang beliau katakan itu. Tidak boleh dinafikan. Bagaimanapun tidak boleh dinafikan juga ada orang Umno yang bersuara. Cuma mungkin tidak cukup jumlah dan tidak cukup kuat.
Contoh, pemimpin beberapa cawangan di Johor dan Negeri Sembilan yang mahu Datuk Seri Najib Razak berundur.
Dan tidak lupa Anina Saaduddin.
Tetapi semuanya tidak “lut”. Najib, kepimpinan Umno dan kerajaan tidak ambil kisah. Buat dak. Bagi mereka, khususnya Najib, “Its business as usual”.
Seolah-olah menunjuk jari tengah sambil berkata “Apa kamu boleh buat?”
Yang mengkritik pula seolah-olah bercakap dengan dinding dan tembok. Kena “stone-walled”.
Muhyiddin juga mengakui, ”Semasa dalam kerajaan saya gunakan kuasa beri nasihat dan pandangan tetapi semua itu were totally ignored”.
Maknanya, Muhyiddin, walaupun ketika memegang jawatan timbalan perdana menteri turut bercakap dengan dinding dan tembok. Jadi apatah lagi orang tanpa pangkat?
Muhyiddin mahu orang Umno “bertambah berani“ dan mencontohi Nabi Muhammad SAW yang “tidak duduk diam jika sesuatu kesalahan berlaku”.
Pun begitu, ada juga orang Umno yang beranggapan Muhyiddin sendiri harus dipersalahkan atas apa yang beliau alami sekarang.
Seorang aktivis parti pernah memberitahu saya, “Penyokong Muhyiddin keliru dan juga kecewa kerana beliau dilihat sebagai ambil satu langkah ke hadapan tetapi ambil dua langah ke belakang.”
Si aktivis merujuk ketika Muhyiddin mendedahkan bagaimana beliau bersemuka dengan Najib bertanya mengenai RM2.6 billion dalam akaun peribadi PM masa isu itu mula-mula timbul dulu.
“Ramai berharap Tan Sri akan go all out tetapi beliau kendur. Gelilah macam ni. Kalau all out ketika itu, Tan Sri akan dapat sokongan hebat. Ada gelombang,” kata si aktivis.
Kini, walaupun menyatakan kesetiaan terhadap Umno dan akan membantu parti menang PRU14 , Muhyiddin dipencilkan. Itu kata Shahbudin si blogger Umno seperti di awal artikel ini .
Persoalan: Apa yang harus Muhyiddin lakukan sekarang?
Bagi Shahbudin (menerusi blognya): “Abang Din harus beranilah sikit. Jangan jadi penyu lagi. Jangan dok rumah dan jangan selalu keluar negara.”
Beliau mahu Muhyiddin mengepalai satu gerakan kukuh untuk memperbetulkan keadaan suram yang diwarwar Muhyiddin sendiri.
Maksudnya dinding dan tembok mesti ditembusi.
No comments: