» » MIC pula bersuara persoalkan skandal 1MDB


Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam mendedahkan hari ini, beliau ada menyuarakan bantahan mengenai isu membabitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam mesyuarat Kabinet.

Beliau yang juga presiden MIC berkata, meskipun menyokong sepenuhnya kepimpinan Datuk Seri Najib Razak, beliau berpendapat perdana menteri itu harus meneruskan usaha menjelaskan skandalnya.

"Penjelasan harus dibuat secara berterusan. Dan kita dalam jemaah menteri ada suarakan bantahan (1MDB). Saya berpendapat kita kena selesaikan isu ini dan kena beri penjelasan baik.

"Tetapi kadang-kadang, ada kumpulan rakyat tidak terima atau menyoal. Bagaimanapun, perkara ini (penjelasan) kita kena teruskan," katanya kepada media selepas menghadiri proses penamaan calon naib presiden dan ahli jawatankuasa kerja pusat (CWC) MIC di Kuala Lumpur.

Pada masa sama, beliau mengulas mengenai usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Najib di Dewan Rakyat yang dicadangkan ahli Parlimen Pakatan Harapan, menyifatkan langkah itu akan gagal.

Membidas parti pembangkang dalam hal itu, Subramaniam berkata, isu mengenai usul tersebut, yang dibawa Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sengaja dimainkan mereka.

"Kita akan sokong Najib dalam proses ini (usul). Ini merupakan satu isu politik yang dimainkan pihak pembangkang, mereka tidak akan berjaya," katanya.

Dr Wan Azizah memfailkan usul undi tidak percaya terhadap Najib Khamis lalu di pejabat Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Usul itu mencetuskan kontroversi kerana pihak pembangkang sepatutnya menghantar notis usul tersebut 14 hari sebelum sidang bermula.

Pandikar sebelum ini menyarankan pakatan pembangkang yang baharu itu menyerahkan senarai sokongan ahli Parlimen sebagai cara meluluskan usul tersebut.

Sebelum sidang Dewan bermula Isnin lalu, ahli Parlimen PKR Hee Loy Sian mengemukakan usul yang sama, namun dibidas Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang menyatakan ia harus dilakukan ketua pembangkang sebagai tanda keseriusan mereka.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .