Mahkamah Tinggi menetapkan 18 November ini untuk menyampaikan keputusan sama ada ia akan menangguhkan atau tidak tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang hendak membatalkan saman Anina Saaduddin berhubung RM2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaun peribadinya.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu hari ini selepas mendengar hujahan kedua-dua peguam Najib dan Anina.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla memberitahu pemberita, beliau mahu mahkamah melupuskan satu permohonan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk membatalkan saman Anina berhubung pemecatannya daripada parti.
Kes itu akan didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman S Nantha Balan pada 30 November.
"Jika permohonan Tengku Adnan tidak dibenarkan, maka cubaan Najib untuk membatalkan saman Anina juga akan gagal," katanya.
Haniff bagaimanapun berkata, jika permohonan Tengku Adnan dibuat dengan memihak kepadanya, maka Anina akan melawan cubaan Najib membatalkan saman itu atas alasan lain.
Peguam Datuk Mohamad Hafarizam Harun memberitahu Zaki, permohonan anak guamnya perlu didengar dulu kerana Anina tidak mempunyai kedudukan undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap Najib bagi pihak ahli Umno yang lain.
Anina memfailkan saman berhubung pemecatan beliau daripada parti pada 11 September, mendakwa ia tidak sah mengikut perlembagaan Umno.
Pada 28 Ogos, beliau memfailkan saman terhadap Najib menggesa bertanggungjawab ke atas wang yang didakwa diberikan kepadanya oleh seorang penderma dari Timur Tengah bagi membantu Barisan Nasional mengekalkan kuasanya pada pilihan raya umum 2013.
Pada 18 September, bekas ketua Wanita Umno Langkawi itu memfailkan injunksi untuk membekukan aset Najib dan penghakiman untuk akaun terperinci bagaimana derma itu digunakan.
Bagaimanapun, pada 1 Oktober, Najib berjaya mendapatkan pengecualian daripada memfailkan pembelaannya sementara menunggu keputusan permohonannya untuk membatalkan saman Anina ini.
Najib hebat dikritik berhubung caranya mengendalikan dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad, yang di bawah seliaan beliau sebagai menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihatnya.
sumber
No comments: