Tengku Razaleigh Hamzah yang disebut-sebut antara tujuh ahli UMNO bermasalah bersedia menghadapi segala kemungkinan sekiranya digantung keahlian UMNO.
Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, sebagai orang lama dalam parti dan Ahli Parlimen UMNO paling lama, beliau sudah bersedia menghadapi apa saja kemungkinan yang bakal berlaku.
“Saya sedia untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan. Saya sudah berada di dalam parti lebih lama dari orang lain dan sudah menjadi ahli Parlimen yang lebih lama dari sesiapun,” ujarnya sewaktu ditemui pemberita di Parlimen pada Khamis.
Bagaimanapun, Ku Li menyatakan beliau masih tidak mengetahui siapakah tujuh individu yang bermasalah seperti yang dinyatakan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
“Saya tidak tahu. Kita serahkan pada takdir,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Ku Li menyatakan mana-mana organisasi akan melakukan siasatan dan menghukum ahlinya jika didapati melanggar peraturan yang telah ditetapkan terutama apabila organisasi itu diketuai pemimpin yang lemah.
“Organisasi yang ditadbir oleh pemimpin yang lemah akan memastikan ahlinya mengikut segala arahan yang diberikan,” jelasnya.
Pada masa sama, veteran UMNO itu mengakui turut mendengar desas-desas adanya komplot untuk menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO.
“Saya ada dengar. Mereka ini mahu menyingkirkan Muhyiddin tetapi sama ada ia benar atau tidak, saya tidak tahu,” katanya,
Bekas Menteri Kewangan itu berkata, UMNO tidak boleh menyingkirkan mana-mana individu hanya disebabkan mempunyai pandangan dan pendirian yang berbeza.
“Kita perlukan semua orang untuk kita mengukuhkan parti. Kita harus bersikap toleransi dengan mereka yang mempunyai pandangan yang berbeza.
“Dan itulah bagaimana UMNO memperoleh kekuatan, ia kerana semua teguh bersama UMNO walaupun mereka mempunyai pandangan dan pendirian yang berbeza,” katanya.
No comments: