» » Jerebu boleh sebabkan kemurungan dan sakit mental


Jerebu yang menyesakkan nafas, membuatkan cuaca suram dengan kualiti udara yang buruk, melanda negara ini sejak beberapa bulan lalu boleh memberikan tekanan kepada populasi penduduk.

Perunding Psikologi Klinikal, Azlina Roszy Mohamad Ghaffar dari Hospital Pakar An-Nur, berkata mereka yang bekerja di luar yang paling terkesan dan berisiko tinggi menghadapi lebih tekanan ketika melaksanakan tugas mereka.

Kontraktor, peladang, penternak, jurutera tapak, pekerja lebuh raya dan pemain bola sepak antara yang dimaksudkannya, iaitu mereka yang paling terkesan kepada kualiti udara yang buruk.

“Jika jerebu berterusan, memaksa mereka membatalkan kegiatan mereka, ia juga boleh menyebabkan tekanan dan kesan psikologi.

“Keluarga juga paling terkesan kerana tidak dapat membawa anak-anak mereka menjalani kegiatan luar, seperti beriadah di taman kerana terpaksa berada di dalam rumah atau bangunan sepanjang masa,” katanya kepada The Rakyat Post ketika dihubung, baru-baru ini.

Azlina berkata demikian ketika ditanya samada jerebu berterusan boleh menyebabkan tekanan mental dan emosi di kalangan rakyat.

Bagaimanapun, katanya, tiada peningkatan ketara dalam kemasukan jumlah pesakit di klinik psikologi atau psikiatri yang berkaitan rapat dengan cuaca kerana kemasukan mereka membabitkan kadar normal.

“Peningkatan kes (pesakit di klinik psikologi atau psikiatri) disebabkan kesan ekonomi akibat kehilangan pekerjaan dan bentuk tekanan lain.

“Bagaimanapun, jika jerebu menyebabkan ramai di antara mereka tidak dapat bekerja dan tidak mempunyai pendapatan, ia pasti akan memberikan tekanan dan kesan psikologi.

“Jika mereka perlu berada di luar untuk menyara hidup dan jerebu menghalang mereka daripada mencari sumber pendapatan, mereka berdepan risiko tekanan yang boleh membawa kepada kemurungan dan penyakit mental.

“Contohnya, ini boleh memberi kesan kepada petani yang tidak dapat ke ladang, penoreh getah tidak boleh bekerja, atau nelayan tidak dapat turun ke laut untuk jangka masa yang lama,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang tidak mempunyai pendapatan alternatif atau kemahiran tambahan, pada masa sama memikul tanggungjawab besar seperti menyara keluarga dan bebanan hutang, turut terdedah kepada tekanan dan penyakit mental.

“Jika mereka (orang awam) gemar melakukan kegiatan luar seperti mendaki gunung, berjoging, berbasikal atau bermain bola sepak, maka, jerebu tidak akan menyebabkan kemurungan kepada mereka kerana masih ada banyak lagi kegiatan dalam dewan yang boleh dilakukan,” katanya.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .