» » Henti kenyataan kurang cerdik macam 'kalau tol mahal jangan guna jalan bertol' kerana ia menimbulkan kemarahan rakyat M'sia


Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Umno, Jamawi Jaafar menasihat Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof agar tidak mengeluarkan kenyataan mengenai isu kenaikan kadar tol yang akan membangkitkan kemarahan rakyat.

Jamawi berkata demikian dalam forum Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (AKHI) mengenai kenaikan kadar tol, di Kelana Jaya malam tadi.

Kata Jamawi, jawapan yang diberikan oleh Fadillah agar pengguna lebuh raya harus mencari jalan alternatif sekiranya tidak mahu membayar tol, merupakan satu kenyataan yang akan membangkitkan kemarahan rakyat.

"Saya kurang berkenan dengan jawapan alternatif ini. Ia (kenyataan itu) akan menaikkan kemarahan rakyat.

"Lebih bagus, kita jangan keluarkan jawapan seperti kalau harga ayam mahal, jangan makan ayam, kalau masakan hostel mahal, masak sendiri dan kalau harga tol mahal, jangan guna jalan tol. Tidak boleh begitu jawapannya datuk," katanya .

Pandangan Jamawi itu mendapat tepukan kira-kira 200 orang yang hadir untuk mendengar penjelasan mengenai kadar baru tol yang dinaikkan sejak 15 Oktober lalu.

Fadilah sewaktu sesi soal jawab menjelaskan jika pemandu merasakan kadar baru tol yang dikenakan adalah tinggi, mereka boleh mengambil laluan alternatif.

"Saya melihat semua jalan ini ada jalan alternatif, cuma alternatif itu orang tidak tahu. Sebab itu kita kena tengok smart travel, kalau betul tidak ada (laluan alternatif), beritahu saya.

"Jika tidak ada, kita akan minta pastikan jalan itu boleh kita tengok (kaji) dan bagaimana untuk tidak ada tol," kata Fadilah.

Ahli Parlimen Petrajaya itu turut menjelaskan pemandu dari Klang yang berhasrat menuju ke Kuala Lumpur tetap mempunyai jalan alternatif.

"Sebenarnya ada jalan dalam. Cumanya jalan dalam itu jauh dan jam (kesesakan lalulintas)," jelasnya.

Sebelum itu, seorang hadirin dari Putrajaya menyuarakan kesulitan yang dihadapinya apabila terpaksa membayar tol apabila hendak menuju ke pusat bandaraya.

Katanya, dari Putrajaya ke Kuala Lumpur tidak mempunyai sebarang jalan altenatif dan harus membayar tol.

"Saya nak cerita, carilah jalan yang tidak ada tol dari Putrajaya hendak ke Bangsar, atau Ampang.

"Sekarang ini semua sudah naik. Mahu atau tidak, memang kena bayar tol. Kalau boleh carilah jalan dari Klang ke Kuala Lumpur, yang tidak ada tol," keluh hadirin itu.

Sementara itu, Fadhilah berkata sukar untuk kadar tol dihapuskan kerana mengikut perjanjian, kerajaan perlu membayar nilai yang tinggi kepada syarikat konsesi lebuh raya dan ia memerlukan kos yang tinggi.

“Kalau kita nak hapuskan, kita kena bayar sebab ada perjanjian, perjanjian tu kata kalau kita tidak bayar boleh bawa kerajaan ke mahkamah.

“Akhirnya kerajaan terpaksa tanggung. Kalau nak hapuskan jumlahnya begitu besar sekali dan adakah kerajaan berkemampuan,” katanya.

Menurutnya lagi, DAP di Pulau Pinang tidak melaksanakan janji yang dibuat untuk menghapuskan tol Sungai Nyior, Butterworth walaupun telah memenangi pilihan raya umum (PRU).

“Kalau kita lihat PRU lepas…, lebuh raya di Butterworh, DAP ada kempen kalau dia menang akan hapuskan tol, sampai sekarang tak hapuskan, (itu tol) Sungai Nyior.

“Dia (pembangkang) bawa plakad... buat protes. Kalau kita ingat jambatan Pulau Pinang dulu buat protes tak mahu jambatan Pulau Pinang,” katanya.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .