Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau terpaksa menggunakan undang-undang kontroversi ketika mentadbir negara ini demi mengelakkan perpecahan kaum yang ketara.
“Semasa era saya, ya, ada banyak perkara yang saya buat mungkin dikira tidak demokratik dan semua itu, tetapi tugas saya demi memastikan hubungan kaum di negara ini kekal sihat,” kata Mahathir dalam wawancara bersama The Guardian.
“Untuk itu, saya tidak pernah gunakannya untuk kepentingan peribadi, atau cuba dapatkan dana secara tidak sah. Ini salah guna kuasa,” katanya merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Dua dekad pentadbiran Mahathir dicemari dengan kecaman terhadap penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membenarkan penahanan tanpa bicara dan dakwaan kekangan terhadap bidang kehakiman
Dalam wawancara dengan harian British itu juga berkata Mahathir disoal berkaitan bekas timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini merengkok dalam penjara atas kesalahan liwat.
“Liwat bukan jenayah di banyak negara. Malah menteri-menteri (asing) kini ada kekasih lelaki. Ia sangat diterima. Mereka ini fikir saya tidak beri cukup kebebasan.
“Tetapi negara ini sangat konservatif. Kita kita mahu kelakuan sebegitu dikaitkan dengan perdana menteri kita,” katanya merujuk Anwar sebagai calon penggantinya ketika itu.
Beliau juga berkata mahukan Anwar menggantikannya tetapi terdapat halangan yang tidak dapat dielakkannya.
“Saya naikkan dia. Tetapi dengan watak moral yang tidak betul, saya tidak fikir dia sesuai jadi perdana menteri.
“Saya fikir dia harus gantikan saya. Malah, saya sedia untuk berundur lepas Sukan Komanwel pada 1998. Saya fikir, saya sudah 18 tahun jadi perdana menteri, ini masanya untuk bersara dan beri pada dia.
“Tetapi pada masa itu perkara ini terdedah. Saya fikir dia tidak lagi berhak jadi perdana menteri,” katanya.
No comments: