Penyanyi Farawahida memberitahu suaminya Abdul Shukur Mohd Zain, 31, tidak membenarkan dia mengambil sembarangan ubat-ubatan untuk tujuan kesihatan terutamanya bagi mendapatkan cahaya mata.
Farawahida atau nama sebenarnya Farawahida Razali, 30, berkata, suaminya yang juga ahli perniagaan dalam bidang perubatan turut memantau makanan tambahan yang diambil bagi memastikan ia tidak berisiko.
"Saya tidak ambil apa-apa ubat atau makanan tambahan semata-mata untuk memudahkan mengandung. Suami saya sendiri tidak benarkan kerana dia kata sarung ubat pun bahaya.
"Jadi apa juga ubat atau makanan tambahan yang saya ingin ambil perlu dipantau oleh suami dahulu, saya juga tidak ambil banyak makanan tambahan cuma pati ikan dan pati buah delima sahaja," ujarnya kepada mStar Online.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas tentang perkembangan setelah hampir dua tahun mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan.
Farawahida dan Shukur Mohd Zain telah bernikah di Sentosa Villa Resort, Taiping, Perak pada 16 Disember 2013.
Sementara itu, ketika ditanya tentang cahaya mata, Farawahida berkata, dia tidak terlalu memikirkan soal tersebut.
Katanya, dia juga menganggap masih belum masanya untuk membuat rawatan bagi mendapatkan cahaya mata.
"Saya tidak terlalu fikir soal ingin cahaya mata kerana kalau terlalu ingin kita akan rasa tertekan. Jadi saya ikutkan sahaja pada rezeki.
"Selain itu, buat masa ini saya rasa masih belum perlu untuk buat rawatan untuk dapatkan anak, lainlah kalau sudah lima tahun berkahwin baru saya fikirkan," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Farawahida yang kini sudah bertudung tidak mahu orang ramai terlalu meletakkan pandangan yang terlalu tinggi terhadapya agar menjadi seorang muslimah sempurna.
Katanya lagi, dia masih perlu banyak belajar dan berubah secara sedikit demi sedikit ke arah menjadi insan lebih baik.
"Bila pakai tudung sejak Mac lalu hati saya lebih tenang dan banyak merubah saya menjadi lebih baik.
"Tapi saya tidak mahu orang letak pandangan terlalu tinggi dan anggap saya manusia yang sudah sempurna agamanya. Saya masih lagi belajar dan mencari kesempurnaan itu," ujarnya.
No comments: