Doktor yang didakwa mencabul seorang wanita di sebuah klinik kerajaan di Selangor telah dipindahkan sementara ke bahagian pentadbiran klinik tersebut sementara menunggu hasil siasatan.
Exco Selangor V Ganabatirau memberitahu, doktor berkenaan dipindahkan pada minggu lalu ekoran dakwaan mencabul wanita yang ingin mendapatkan rawatannya.
"Selepas sidang media, saya difahamkan oleh pegawai di klinik kesihatan itu bahawa doktor tersebut telah dipindahkan ke bahagian pentadbiran.
"Saya sudah sahkan mengenai perkara ini dari klinik kesihatan itu. Tetapi mereka tidak mahu mendedahkan secara terperinci," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Ganabatirau berkata doktor itu dipindahkan pada 22 Oktober lalu.
Seorang wanita yang dikenali sebagai “Miss T" mendakwa menjadi mangsa doktor lelaki itu pada 8 Oktober lalu ketika mahu mendapatkan rawatan untuk batuk dan sakit kepala.
Beliau mendakwa, doktor itu mahu memeriksa pernafasan tetapi meraba-raba buah dadanya ketika berbaju.
Doktor itu juga didakwa mengarahkan pesakit membuka baju termasuk coli namun Miss T enggan berbuat demikian.
No comments: