Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim tidak pasti dengan kesahihan laporan The New York Times (NYT) mengenai siasatan rasuah Amerika Syarikat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Katanya, setakat ini polis masih belum menerima "jemputan" daripada pihak luar berkenaan siasatan tersebut.
Rashid berkata, sekiranya Jemaah Juri Amerika Syarikat menjalankan siasatan terhadap Najib, sudah tentu polis Malaysia akan dihubungi terlebih dahulu.
"Saya tidak pasti sama ada betul laporan itu ada atau tidak... saya tidak tahu ada siasatan atau belum.
"Tetapi setahu kita, pihak luar tidak mencari PDRM. Kalau mereka jalankan siasatan, agensi yang mereka cari sudah tentu PDRM. Setakat ini tidak ada. Jadi, susah saya nak komen," katanya pada sidang media selepas majlis kenaikan pangkat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.
Semalam, NYT mendedahkan juri persekutuan di Amerika Syarikat (AS) sedang meneliti dakwaan rasuah melibatkan Najib dan beberapa individu yang dekat dengannya.
Menurut akhbar itu, inkuiri tertumpu kepada hartanah di AS yang dibeli beberapa tahun terakhir ini oleh sebuah syarikat tidak aktif didakwa milik anak tiri Najib serta beberapa hartanah dikaitkan dengan kenalan keluarganya.
Inkuiri itu dilaporkan dilakukan sebuah unit di Jabatan Keadilan AS yang terlibat dalam penyiasatan kes rasuah antarabangsa.
Akhbar antarabangsa tersebut juga melaporkan para penyiasat itu juga meneliti wang AS$681 juta yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib, seperti dilaporkan pertama kali oleh The Wall Street Journal yang kemudiannya disahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebagai derma politik.
NYT pada Februari melaporkan, lebih daripada AS$150 juta dalam bentuk hartanah kediaman mewah dikaitkan dengan anak tiri Najib, Riza Aziz, dan seorang ahli perniagaan dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad, Jho Low.
sumber
No comments: