» » Penjenayah atau perbuatan jenayah tidak boleh dirahsiakan di bawah Akta Rahsia Rasmi atau undang-undang lain Malaysia


Seksyen 2 Akta Rahsia Rasmi 1972 mentafsirkan rahsia rasmi sebagai,

“Apa apa suratan yang dinyatakan dalam jadual dana pa apa maklumat dan bahan yang berhubungan dengannya dan termasuklah apa apa suratan rasmi, maklumat dan bahan lain sebagaimana yang boleh di kelaskan sebagai “Rahsia Besar’’, “Rahsia”, “Sulit” atau “Terhad’’ , mengikut mana mana yang berkenaan, seorang Menteri, Menteri Besar atau Ketua Menteri sesuatu Negeri atau mana mana pegawai yang di lantik di bawah Seskyen 2B. “

Sekyen 2B Akta Rahsia Rasmi 1972 memberi kuasa kepada pegawai awam yang dilantik untuk mengkelaskan suratan rasmi mengikut kategori-kategori yang disebut di atas.

Manakala jadual kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 (Seksyen 2A) menjelaskan menteri mempunyai kuasa meminda dan memotong mana mana perkara dalam jadual menerusi perintah yang disiar dalam warta,

“Dokumen, rekod keputusan dan penimbangtelitian Jemaah Menteri termasuk dokumen, rekod keputusan dan penimbangtelitian jawatankuasa Jemaah Menteri. Dokumen, rekod keputusan dan penimbangtelitian jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Dokumen berkenaan dengan keselamatan negara,pertahanan dan hubungan antarabangsa”.

Tiada pada mana mana bahagian akta ini disebut dibuat untuk melindungi penjenayah atau sebarang perbuatan jenayah malah pelbagai provisi akta ini dengan jelas tidak melindungi sebarang perbuatan jenayah sebagai contoh Seksyen 30 Akta ini dengan jelas menyebut yang kuasa kuasa yang termaktub di bawah Kanun Acara Jenayah tidak disekat.

Justeru, perbuatan membunuh yang jelas merupakan jenayah serius di bawah Seksyen 300 Kanun Keseksaan amatlah mustahil untuk di masukkan sebagai rahsia rasmi negara.

Begitu juga perbuatan jenayah rasuah dan salah guna kuasa yang merupakan jenayah di bawah Akta SPRM 2009, perbuatan pecah amanah di bawah Seksyen 405 Kanun Kesiksaan dan perbuatan penggubahan wang haram yang merupakan jenayah di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA 2001).

Kesemua kesalahan jenayah ini amatlah mustahil untuk diizinkan Parlimen untuk dimasukkan sebagai sebahagian daripada rahsia rasmi negara.

Namun seandainya jika ia dilakukan juga mana-mana menteri atau penjawat awam iaitu untuk menjadikan segala perbuatan jenayah tersebut sebagai sebahagian daripada rahsia rasmi negara, ia secara jelas bertentangan dengan pelbagai akta utama yang di luluskan Parlimen. Maka boleh diisytihar mahkamah sebagai tidak sah.

Justeru, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai salah satu badan penguatkuasa undang undang negara selain contohnya seperti Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia patutlah bertindak menahan reman mereka yang di syaki untuk siasatan sekalipun ianya melibatkan kenamaan kenamaan negara.

Bank Negara Malaysia, SPRM dan PDRM mempunyai kuasa secara berasingan untuk membekukan akaun akaun dan menyita aset aset haram mengikut akta masing masing selain mendapatkan kerjasama yang sepatutnya daripada pihak Timbalan Pendakwaraya,Jabatan Peguam Negara.

Akta Perkhidmatan Institusi Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Institusi Kewangan Islam 2013 tidak di buat untuk melindungi rahsia rahsia pelanggan perbankan yang di syaki terlibat dalam perbuatan jenayah.

Malah di bawah AMLATFAPUAA 2001 pihak bank sebagai salah satu daripada lebih 30 badan yang wajib melapor sebarang perbuatan jenayah kewangan secara terus kepada pihak Bank Negara Malaysia untuk di siasat dan di ambil tindakan.

Jadi tidak mustahil pembunuhan seorang pegawai tinggi bank berkaitan dengan kewajipan tugasnya di bawah AMLATFAPUAA 2001 untuk melaporkan kemasukkan jumlah wang yang tidak masuk akal ke dalam akaun peribadi salah seorang pelanggan bank berkenaan.

Seksyen 133 (2) Akta Perkhidmatan Institusi Kewangan 2013 menyebut beberapa pengecualian di mana keadaan undang undang kerahsiaan pelanggan tidak terpakai.

Malah Seksyen 134 Akta Perkhidmatan Institusi Kewangan 2013 dengan jelas tanpa sebarang keraguan mengizinkan pelbagai rahsia pelanggan tidak lagi di anggap rahsia dengan membenarkan , “permitted disclosures’’.

Terdapat 18 keadaan yang dizinkan di bawah Jadual 11 Seksyen 134 Akta Perkhidmatan Institusi Kewangan 2013 dan sebahagian daripada 18 keadaan ini termasuklah untuk tujuan prosiding jenayah, untuk mematuhi perintah mahkamah, untuk mematuhi perintah yang di keluarkan atas permohonan pelbagai agensi penguatkuasaan undang-undang dan sebagainya.

Seksyen 146 Akta Perkhidmatan Institusi Kewangan Islam 2013 adalah merujuk kepada 18 keadaan yang sama dalam Jadual 11 yang terpakai untuk Perbankan Islam sepertimana Seskyen 134 Akta Perkhidmatan Institusi Kewangan 2013 dan Jadual 11 yang terpakai pada perbankan konvensional.

Justeru, tiada kerahsiaan terpakai dalam perbuatan jenayah. Malah kerahsiaan ketika siasatan akan terbongkar ketika perbicaraan penuh.

Sebelum perbicaraan penuh, ketika pihak berkuasa memohon perintah reman, peguam tertuduh boleh mendapatkan beberapa maklumat siasatan dengan bertanya kepada mahkamah ketika proses permohonan reman dan mahkamah akan bertanya kepada pegawai penyiasat yang akan menjawap dengan jawapan sepatutnya.

Tiada sebarang maklumat perbuatan jenayah akan dapat benar benar dilindungi secara sah di sisi undang undang kecuali jika ada pihak pihak dipertanggungjawabkan untuk menguatkuasakan undang-undang pula ingin bersubahat membantu melindungi penjenayah dan perbuatan jenayah yang merupakan satu kesalahan jenayah berkaitan penjawat awam di bawah Kanun Kesiksaan.

Majoriti rakyat yang waras mahu undang undang dilaksana dengan adil dan saksama.


Jika penjenayah kewangan, pecah amanah, salah guna kuasa skala besar rasuah serta dalang pembunuhan/cubaan membunuh berulang kali masih bebas bergaya ke sana kemari bersama para pengampu, maka lebih baik dibebaskan sahaja SEMUA penjenayah rasuah dan Orang Kena Tuduh (OKT) kes kes bunuh supaya para penjenayah ini dapat beterusan merasa nikmat kebebasan melakukan jenayah tanpa tindakan.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .