Mahkamah Tinggi hari ini membatalkan keputusan menteri dalam negeri menggantung permit penerbitan akhbar mingguan The Edge dan harian The Edge Financial Daily selama 3 bulan.
Hakim Datuk Asmabi Mohamad dalam membenarkan permohonan semakan kehakiman berkata, responden (menteri) melanggar Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
“Responden tidak mematuhi keadilan mengikut prosedur kerana beliau tidak memberi butiran penggantungan kepada pemohon,” katanya.
Hakim itu berkata, menteri mengambil pertimbangan yang tidak relevan untuk mengenakan larangan menyeluruh selama 3 bulan itu.
Kementerian Dalam Negeri menggantung permit penerbitan akhbar mingguan dan harian itu selama 3 bulan mulai 27 Julai.
Hakim Asmabi dalam penghakimannya berkata responden sepatutnya lebih berhati-hati mengeluarkan perintah kerana ia menjejaskan mata pencarian mereka yang bekerja dengan pemohon.
Menurutnya mahkamah akan menaksir pampasan yang akan dianugerahkan kemudian kepada pemohon dan membayar kos RM15,000.
Dalam maklum balas segera, peguam Darryl Goon berkata penerbit iaitu The Edge Communications Sdn Bhd boleh menerbitkan semula akhbar itu memandangkan kerajaan tidak memohon perintah penangguhan.
Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke Yee Ching memaklumkan wartawan yang beliau perlu menunggu arahan selanjutnya daripada pihak atasannya sebelum membuat keputusan.
"Kami ada masa sebulan."
Semakan ringkas ke atas penghakiman hari ini mendapati mahkamah menerima sepenuhnya hujah yang dikemukakan Goon.
Sebelum ini, satu surat daripada KDN mendakwa liputan akhbar The Edge ke atas skandal dana sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bersifat "prejudis kepada ketenteraman awam, keselamatan serta pendapat orang ramai".
Ini merupakan kali pertama satu penerbit memilih jalan perundangan bagi mencabar penggantungan terhadap liputannya ke atas 1MDB dan menang di mahkamah.
Ketua Setiausaha Datuk Alwi Ibrahim dalam kenyataan pada 24 Julai lalu berkata penggantungan itu dibuat selepas KDN menyemak laporan 1MDB oleh The Edge serta jawapan bagi surat tunjuk sebab yang diberi sebelum itu.
Di antara alasan yang diberikan adalah tajuk dan liputan 2 penerbitan itu memberi persepsi negatif terhadap 1MDB, sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan, dan turut mensabitkan pemimpin negara.
Goon dalam hujahnya pada 7 September menegaskan yang penggantungan atas alasan ia menerbitkan laporan kurang disenangi adalah tidak sah di sisi undang-undang kerana ia tidak termaktub dalam mana-mana pekeliling.
Menurutnya, Seksyen 7(1) Akta Penerbitan dan Mesin Cetak menetapkan yang sebarang penerbitan kurang menyenangkan hanya boleh dilarang menteri jika ia diterbitkan menerusi satu warta.
Menurut Goon, penerbit berpendapat penggantungan itu tidak sah, mencabul Perlembagaan dan bersifat ultra vires (melampaui bidang kuasa).
sumber
No comments: