Bekas pemimpin Umno, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang sedang disiasat atas dakwaan cuba menggulingkan kerajaan, tidak berhasrat memfailkan semakan mencabar tahanan reman yang dikenakan ke atasnya demi mempertahankan prinsip yang dibawa, kata peguamnya Matthias Chang.
"Kami memutuskan untuk tidak memfailkan semakan kerana Datuk (Khairuddin) sangat kuat dan bertegas," kata Chang kepada The Malaysian Insider.
"Dia tidak bersalah. Dia tidak akan melawan perintah reman itu sebagai satu daripada prinsipnya.
"Dia akan menjalani tahanan reman selama 6 hari bagi membenarkan pihak polis menyelesaikan siasatan mereka," katanya.
Chang pada Ahad berkata, satu pasukan undang-undang sedang menimbang untuk mencabar perintah reman yang diperoleh polis pada Sabtu.
Bagaimanapun, beliau memberitahu The Malaysian Insider malam tadi, anak guamnya (Khairuddin) akan melalui proses itu kerana beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.
Khairuddin, bekas naib ketua bahagian Umno Batu Kawan, dituduh mensabotaj negara ini selepas beliau membuat laporan polis kepada beberapa penyiasat di beberapa negara termasuk Hong Kong, Switzerland dan United Kingdom.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Khairuddin ditahan dan disoal siasat kerana beliau memilih saluran undang-undang asing untuk memberi tekanan kepada Malaysia berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Katanya, tindakan seperti itu boleh dianggap sebagai mensabotaj negara dan mencabar sistem perundangan Malaysia.
"Ia juga mencemarkan kredibiliti agensi penguatkuasa tempatan dan mengundang campur tangan asing dalam sistem demokrasi di negara ini," kata Khalid.
Khalid berkata Khairuddin pernah membuat laporan polis mengenai isu 1MDB di sini, maka agensi penguatkuasaan Malaysia perlu diberi masa untuk menjalankan siasatan mereka.
Khairuddin sepatutnya berlepas ke Amerika Syarikat pada pagi Jumaat dengan Chang, tetapi kedua-duanya dihalang daripada meninggalkan negara ini oleh pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, atas arahan polis Persekutuan.
Beliau kemudiannya dikatakan hendak mengambil penerbangan untuk bertemu dengan pegawai Biro Siasatan Persekutuan (FBI).
Khairuddin yang dipecat daripada parti selepas diisytiharkan muflis berkata dalam laman Facebook beliau pada Jumaat, polis hendak menyoal siasat beliau kerana menyampaikan keterangan berkaitan dengan skandal 1MDB kepada Pejabat Peguam Negara Switzerland.
Beliau menyerahkan bukti itu kepada pihak berkuasa Switzerland pada 20 Ogos dan menggesa pihak berkuasa itu menyiasat aktiviti syarikat sarat hutang itu yang melibatkan bank Switzerland dan bank antarabangsa.
Beliau menegaskan beliau hanya bertindak untuk kepentingan negara dan mempunyai "locus standi" untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa Switzerland.
Tetapi, Putrajaya mendakwa Khairuddin membuat laporan polis "palsu yang bermotifkan politik" dan membawa agenda yang sama seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, yang tidak berhenti-henti menggesa Najib meletak jawatan.
sumber
No comments: