» » Khairuddin mungkin berdepan berbulan tahanan tanpa bicara dibawah SOSMA kerana dedahkan skandal Najib Razak


Bekas pemimpin Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, yang ditangkap semula petang semalam di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma), berpotensi berdepan dengan kemungkinan berbulan-bulan dalam tahanan, kata peguam hak asasi manusia, Syahredzan Johan.

Ini kerana di bawah Sosma, Khairuddin yang juga bekas timbalan ketua Umno bahagian Batu Kawan, boleh ditahan selama 29 hari.

Selepas itu, jika dia memang didakwa, tidak akan ada jaminan dan jadi Khairuddin akan ditahan reman sehingga akhir perbicaraan itu, yang boleh mengambil masa beberapa bulan.

Dan walaupun Khairuddin dibebaskan selepas perbicaraan itu, pendakwa raya boleh memfailkan rayuan dan memohon untuk menahan remannya sehingga selesai rayuan itu, jelas Syahredzan.

"Pada asasnya, jika mereka (pihak berkuasa) mengambil jalan ini, maka Khairuddin mungkin berada di dalam tahanan untuk masa yang sangat lama," katanya kepada Malaysiakini.

Katanya, kes Khairuddin adalah kali pertama Sosma digunakan berhubung dengan skandal 1MDB.

Peguam Eric Paulsen dan New Sin Yew juga berkata penggunaan Sosma terhadap Khairuddin adalah jelas satu penyalahgunaan undang-undang yang "zalim" itu.

Menurut Paulsen, Sosma bertujuan untuk "mengekalkan ketenteraman awam dan keselamatan" untuk keselamatan persekutuan, dan tindakan itu sepatutnya untuk sementara sahaja.

"Sosma hanya sepatutnya terpakai bagi kesalahan keselamatan yang tulen, bukan untuk melindungi kerajaan atau perdana menteri dari musuh politik mereka," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Sementara itu, New berkata membuat aduan kepada pihak berkuasa asing "yang sah di bawah undang-undang tempatan dan luar negara, tidak boleh semunasabahnya ditafsirkan sebagai suatu kesalahan terhadap negara".

"Khairuddin tidak sepatutnya disiasat, apa lagi yang ditahan di bawah Sosma,
" katanya.

Beliau juga mendakwa ianya sebagai satu percubaan kerajaan untuk "melepaskan diri" daripada siasatan pihak berkuasa asing.

Khairuddin ditahan Jumaat lalu di rumahnya di Mont Kiara, beberapa jam selepas mendapat tahu dia telah dihalang daripada meninggalkan negara ini.

Beliau telah ditahan di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan dan ditahan reman enam selama hari pada hari Sabtu.

Penangkapan awal beliau adalah kerana disyaki bertindak untuk 'menggulingkan kerajaan' berhubung bukti berkaitan skandal 1MDB yang diserahkannya kepada pihak berkuasa Switzerland.

Selain daripada Switzerland, Khairuddin juga telah membuat laporan terhadap 1MDB di London, Hong Kong dan Singapura.

Beliau juga dilaporkan telah dijadual untuk mengadakan pertemuan dengan Biro Penyiasatan Persekutuan di Amerika Syarikat, yang telah dilaporkan membuka siasatan terhadap 1MDB.

Khairuddin telah dibebaskan petang semalam tetapi ditangkap semula oleh pihak polis, kali ini di bawah Sosma.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .