Kumpulan media melihat keputusan mahkamah membatalkan penggantungan The Edge sebagai peringatan kepada kerajaan untuk tidak bertindak sewenang-wenangnya menyekat kebebasan media.
Mengalu-alukan keputusan hari ini ini, Gerakan Media Marah (GERAMM) berkata ia seharusnya mengingatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tidak bertindak di luar peranannya.
“Ini adalah satu kemenangan, walaupun kecil, kepada semua penyokong kebebasan media di Malaysia,” kata GERAMM dalam reaksi segeranya hari ini.
GERAMM antara organisasi media terlibat memberi tekanan kepada kerajaan, termasuk bersama menganjurkan himpunan membantah penggantungan itu di Kuala Lumpur sebelum ini.
Dalam keputusan yang jarang-jarang berlaku, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membatalkan keputusan kerajaan menggantung The Edge Financial Daily danThe Edge Financial Weekly.
Hakim Datuk Asmabi Mohamad mengarahkan penilaian terhadap kerugian The Edge dinilai manakala KDN pula diarah membayar kos RM15,000 kepada The Edge.
The Edge sebelum ini digantung tiga bulan selepas menerbitkan tulisan yang lantang mengkritik dalam isu 1MDB.
Sementara itu, GERAMM, perkumpulan longgar wartawan dan aktivis yang mendukung kebebasan media itu juga melihat keputusan itu sebagai tanda “keteguhan” pelbagai pihak menekan kerajaan supaya tidak campur tangan dalam tugas media.
GERAMM juga mendesak kerajaan tidak merayu terhadap keputusan hari ini, selari dengan ikrar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini untuk melindungi serta mempertahankan kebebasan media.
“GERAMM juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada media, masyarakat sivil serta orang ramai di atas sokongan yang diberikan dalam kempen kepada The Edge,” kata kumpulan itu yang terlibat dalam protes sama ketika penggantungan The Heat selepas melaporkan gaya hidup mewah Najib dan keluarganya.
No comments: