Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyokong pendirian ketua pengarah pilihan raya parti itu yang PAS perlu menyokong usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Tuan Ibrahim berkata, beliau percaya parti Islam itu perlu berbuat demikian kerana terdapat banyak persoalan timbul yang masih belum dapat diperjelaskan dengan sempurna oleh Najib kepada rakyat.
"Sebagaimana yang dikatakan Datuk Mustafa Ali, jika ada undi tidak percaya terhadap perdana menteri, PAS akan turut bersama kerana tindakan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan jawapan terhadap derma RM2.6 bilion jelas tidak dapat diterima rakyat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kenyataan dua pemimpin parti Islam itu bercanggah dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bulan lalu yang mengarahkan ahli Parlimen PAS agar tidak menyokong usul undi tidak percaya kepada Najib.
Ini bukan kali pertama kenyataan kedua-duanya bercanggah.
Kenyataan Tuan Ibrahim yang PAS akan menyertai himpunan Bersih 4 hujung bulan ini juga ditolak Hadi apabila berkata PAS hanya akan menghantar 3 wakil saja kerana parti itu akan menganjurkan himpunan Bersih mereka sendiri.
Bulan lalu, Hadi mengingatkan ahli Parlimen parti itu agar tidak menyokong usul undi tidak percaya jika diadakan di Dewan Rakyat bagi mendesak Najib meletakkan jawatan.
Katanya, mereka perlu akur jika tidak mahu tindakan tegas diambil, kerana PAS hanya akan melakukan perubahan melalui cara yang sihat, bukan dengan agenda melakukan perubahan politik yang boleh menghuru-harakan negara.
Ia kemudiannya disusuli dengan Najib yang memuji sikap Hadi berpegang pada prinsip seseorang itu tidak bersalah selagi belum dibuktikan bersalah dan Kabinet baharu perlu diberi peluang menyelesaikan masalah negara sebelum undi tidak percaya diusulkan.
Dalam kenyataannya hari ini, Tuan Ibrahim turut mempersoalkan mengapa ketua polis negara masih tidak bertindak menyiasat 20 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan “orang tua misteri” yang didakwa terlibat dengan komplot menggulingkan perdana menteri.
Katanya, mereka seharusnya disiasat mengikut Seksyen 124B kerana boleh dianggap "memudaratkan demokrasi berparlimen" Malaysia.
"Mengapa masih tiada tindakan membeku para ahli parlimen BN dan 'orang tua misteri' yang dituduh itu keluar negara seperti yang terkena pada beberapa ahli pembangkang dan pemimpin organisasi bukan kerajaan (NGO) sebelum ini?
"Mengapa tiada tangkapan, serbuan ke rumah dan sebagainya, sebagaimana yang dialami pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara?
"Mengapa polis tiba-tiba menjadi lambat bertindak? Bukankah itu satu hipokrasi?" soalnya berikutan tindakan membeku pasport dan siasatan ke atas pelbagai pihak kerana mengkritik 1MDB.
Memandangkan polis tidak bertindak terhadap ura-ura tersebut, yang dibangkitkan di media sosial baru-baru ini, beliau berharap jangan pula polis bertindak terhadap penganjur Bersih 4 menggunakan Seksyen 124B.
Ini kerana, katanya, tindakan itu akan memburukkan lagi imej polis di mata rakyat.
Tuan Ibrahim berkata, polis sepatutnya menahan menteri BN yang didakwa cuba menipu rakyat.
Katanya, PAS akan membincangkan secara terperinci isu tersebut dalam kongres rakyat yang akan dianjurkan 12 September ini.
sumber
No comments: