Semua pihak tidak perlu bising mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebaliknya menunggu sehingga siasatan kes itu selesai, kata Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, lapor Utusan Malaysia.
Menurut akhbar milik Umno itu, menteri kewangan II berkata, tiada guna membuat pelbagai tuduhan terhadap isu berkenaan kerana tidak akan membawa apa-apa hasil selagi siasatan tidak selesai.
Husni berkata, agak malang apabila ramai yang sudah membuat kesimpulan berlaku penyelewengan dan salah laku terhadap akaun 1MDB semata-mata disebabkan persepsi tidak betul.
"Jangan buat bunyi lagi, tungu laporan Ketua Audit Negara, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan jawatankuasa penyiasat 1MDB.
"Perdana menteri sendiri sudah memberikan komitmen dan berjanji jika ada salah laku, tindakan akan diambil dan ini boleh dipercayai," katanya merujuk kepada Datuk Seri Najib Razak.
"Kalau buat tuduhan pun, tidak akan capai apa-apa. Persepsi menjadikan tuduhan dilihat benar-benar berlaku sedangkan konsep undang-undang, seseorang tidak boleh dihukum bersalah sehingga terbukti," lapor akhbar itu lagi.
Mengenai ikrar perdana menteri untuk memulihkan semula 1MDB dalam masa 6 bulan, Husni yakin perkara itu akan dapat dicapai.
Semalam, bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berikrar akan terus bersuara tentang 1MDB walaupun digugurkan daripada Kabinet, kerana beliau masih lagi mempunyai tanggungjawab sebagai timbalan presiden Umno.
Berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kluang di Dewan Pekan Rabu, Kluang, Johor, beliau berkata ucapan dan kata-katanya semata-mata demi memastikan Umno terus berkuasa dan kerajaan pemerintah tetap stabil.
"Ya, saya berhadapan sedikit perbezaan pandangan dengan presiden parti. Dalam satu perkara sahaja – 1MDB.
"Bila hendak sebut ini, banyaklah sahabat politik saya yang bagi nasihat. Mereka kata saya bukan lagi timbalan perdana menteri. Saya kata, biarlah.
"Mereka mengingatkan saya supaya cakap baik-baik. Saya tanya, kenapa? Mereka kata, manalah tahu selepas saya tidak lagi dalam jawatan kerajaan, ada pihak nak cari salah supaya jawatan saya sebagai timbalan presiden digugurkan," katanya di hadapan perwakilan yang hadir.
No comments: