» » Tiada keperluan panggil Gani Patail berhubung dakwaan kertas pertuduhan Najib Razak


Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengatakan tiada keperluan bekas Peguam Negara Tan Sri Gani Patail dipanggil susulan pendedahan laman Sarawak Report yang mendakwa beliau digugurkan sebagai kerana sudah menyiapkan draf pertuduhan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Khalid berkata, penafian berhubung dakwaan laman portal berkenaan sudah pun dikeluarkan Jabatan Peguam Negara.

"Penafian dibuat oleh pihak peguam negara semalam juga, jadi adakah perlu kita nak tanya bekas peguam negara.

"Pada pandangan saya kita tidak perlu, saya tidak mahu buat apa-apa ulasan terhadap peguam negara. Itu bukan bidang kuasa saya," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, pihak polis juga akan menjalankan siasatan terhadap pengasas Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan.

"Apa yang saya ingin jelaskan, tindakan Claire, melanggar beberapa undang-undang negara kita, laporan polis kami terima semalam dan hari ini, dan kami akan menjalankan siasatan terhadap fitnah dan tuduhan Sarawak Report menggunakan Seksyen 124 kerana menimbulkan suasana dan mengganggu gugat demokrasi negara kita," katanya.

Khalid turut berkata, pihak polis tetap akan menyiasat Clare meskipun tidak berada di dalam negara.

"Ada cara, kita mungkin akan jemput dia untuk pulang," katanya.

Portal Sarawak Report semalam mendakwa Gani dilucut jawatan sebagai peguam negara susulan draf pendakwaan yang dikeluarkan terhadap Najib.

Laman berkenaan turut memuat naik dua dokumen yang digunakan untuk menyokong dakwaan mereka.

Sarawak Report mendedahkan kertas pendakwaan dikatakan disediakan bekas peguam negara terhadap perdana menteri dan bekas pengarah urusan yang ditahan pasukan petugas khas dan kemudiannya dibebaskan dengan jaminan Nik Faisal Ariff Nik Othman Kamil.

Pejabat Peguam Negara menafikan mereka mendraf kertas pendakwaan terhadap Najib seperti didedahkan laman Sarawak Report, kata Datuk Tun Abdul Majid Hamzah.

Timbalan peguam cara negara II itu berkata demikian melalui akaun Twitternya malam tadi: "Draf kertas pendakwaan seperti disiarkan Sarawak Report tidak dikeluarkan Pejabat Peguam Negara," katanya melalui akaun Twitter @TAMajid.

Bagaimanapun, Pejabat Peguam Negara menafikan kewujudan kertas pertuduhan terhadap Najib, dan dakwaan itu menunjukkan ada konspirasi untuk menjatuhkan perdana menteri menggunakan kesalahan jenayah, kata Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Peguam negara yang baharu dilantik itu berkata plot menjatuhkan Najib adalah ancaman kepada demokrasi rakyat Malaysia dan siasatan akan dijalankan.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media sama berkata, pihaknya menafikan kewujudan dokumen berkenaan dan laporan Sarawak Report itu adalah "laporan jahat untuk menunjukkan persepsi negatif kepada perdana menteri".

"Saya menafikan kononnya ada dokumen atau surat arahan atau saman bagi penangkapan atau pendakwaan dilakukan oleh Jabatan Peguam Negara kepada perdana menteri.

"Laporan yang dikemukan Sarawak Report laporan jahat untuk menunjukkan persepsi negatif kepada perdana menteri," katanya.

"Saya menyerahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk ambil tindkan susulan dan lanjut kepada Sarawak Report yang berniat jahat mewujudkan persepsi negatif bagi mengimplikasikan perdana menteri," katanya.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .