Unit propaganda Putrajaya, Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), mengeluarkan senaskhah buku 47 muka surat yang menggariskan "22 jawapan" oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi menjelaskan pelbagai tuduhan yang dilemparkan kepadanya.
Buku tersebut diedarkan kepada lebih 300 ahli Umno pada mesyuarat agung tahunan Umno bahagian Seremban di Paroi, Negeri Sembilan, hari ini, yang dijadualkan dirasmikan Najib selaku presiden parti.
Turut disertakan sekeping risalah yang mengandungi penerangan dalam bentuk yang lebih padat, tetapi tidak dinyatakan nama penerbitnya.
Dalam buku kecil itu, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dituduh mengulangi "pembohongan pembangkang" tentang pentadbiran Najib.
Maklumat dalam buku itu semuanya diambil dari Najib.
Sementara risalah itu menyatakan, jika Najib meletakkan jawatan sebagai perdana menteri seperti yang dituntut Dr Mahathir, negarawan yang berusia 90 tahun itu akan dapat "campur tangan" dalam pentadbiran negara.
Buku itu juga menjawab kontroversi lain yang melanda pentadbiran Najib, seperti kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, wanita Mongolia yang dibunuh pengawal peribadi Najib pada 2006; pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dipersalahkan kerana kos hidup yang meningkat; dan pembelian jet eksekutif kerajaan.
Ia juga menangani persepsi awam yang rasuah sedang berleluasa di Malaysia.
Kebanyakan jawapan yang dikaitkan dengan Najib kelihatan sama dengan posting beliau sebelum ini di blognya najibrazak.com, di ruangan Soalan Lazim.
Ketua Pengarah Jasa Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi berkata, buku kecil itu dicetak untuk semua rakyat Malaysia, bukan hanya untuk ahli Umno.
"Ia akan diberikan kepada sesiapa yang mahukannya, kami hanya mencetak jawapan perdana menteri," katanya.
Najib ketika ini berdepan desakan meletak jawatan, terutamanya dibuat bekas perdana menteri Dr Mahathir, berhubung pelbagai tuduhan terhadapnya termasuk dakwaan wang berbilion ringgit dikatakan dipindahkan ke akaun bank peribadinya daripada entiti berkaitan dana pelaburan negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Beliau bagaimanapun enggan melayan tuntutan peletakan jawatan itu dan turut menafikan menggunakan wang awam untuk kepentingan peribadi.
Minggu lalu, beliau merombak Kabinetnya dalam satu langkah yang dilihat sebagai satu percubaan menutup mulut pengkritiknya, dan menggantikan peguam negara yang turut terlibat dalam proses siasatan ke atas 1MDB.
sumber
No comments: