» » 'Skandal 1MDB akan ditutup dan didapati tiada unsur rasuah dan penyelewengan'


Berdasarkan pengamatan situasi semasa, PKR mendakwa tidak mustahil isu pemindahan wang daripada syarikat milik kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke akaun peribadi perdana menteri akan ditutup.

Setiausaha agung parti, Rafizi Ramli mendakwa, Datuk Seri Najib Razak dan orang-orangnya akan "menjual cerita" bagi memperlihatkan seolah-olah tidak ada kes ke atas beliau.

Katanya, siasatan ke atas 1MDB dan dana RM2.6 bilion di dalam akaun peribadi perdana menteri akan berkesudahan dengan kes ditutup kerana didapati tidak ada unsur rasuah.

"Isu yang dibawa kebelakangan ini berkaitan pembiayaan parti politik hanyalah untuk mempersiapkan orang ramai dengan skrip yang disediakan, iaitu siasatan berkenaan 1MDB dan dana di dalam akaun peribadi Najib mendapati tiada unsur rasuah dan kes ditutup begitu sahaja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, tindakan Najib membangkitkan semula isu pembiayaan politik adalah usaha tersusun mengalihkan fokus daripada 1MDB.

"Sejak beberapa hari yang lepas, ada cubaan yang tersusun oleh pimpinan Umno untuk membawa isu baru iaitu pembiayaan parti-parti politik.

"Perkara ini mula-mula disebut Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional Datuk Abdul Rahman Dahlan dan disambut sendiri Najib," katanya.

Najib pada hujung minggu lalu mencabar pembangkang mendedahkan sumber dana mereka jika mahu Umno mendedahkan punca kewangan mereka.

Rafizi berkata langkah tersebut adalah helah dimainkan Najib dan Umno untuk menutup persoalan besar mengenai 1MDB.

"Ke manakah wang RM42 bilion yang dipinjam oleh 1MDB dan benarkah wang itu diambil oleh individu yang rapat dengan perdana menteri seperti Jho Low?

"Kenapakah RM2.6 bilion yang sebahagiannya dituduh turut berasal daripada dana 1MDB dimasukkan ke akaun peribadi perdana menteri?" soal Rafizi.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .