Ahli pembangkang dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mahu meneruskan prosiding inkuiri terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) minggu depan walaupun ada arahan daripada speaker Dewan Rakyat mengatakan jawatankuasa itu tidak boleh berfungsi sehingga pengerusi dan kekosongan 3 ahlinya diisi.
Timbalan Pengerusi PAC Dr Tan Seng Giaw berkata, tidak ada surat rasmi daripada Parlimen yang mengarahkan mereka menangguhkan sementara prosiding.
"Kami dijadualkan mengadakan pendengaran pada 4 Ogos hingga 6 Ogos serta 17 dan 18 Ogos berkaitan 1MDB dan sehingga sekarang kami tidak menerima apa-apa surat yang berkata sebaliknya. Tiada surat rasmi dihantar kepada kami.
"Jadi PAC masih berfungsi dan kami akan bermesyuarat pada 4 Ogos nanti," katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur hari ini.
Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia dalam kenyataan semalam berkata, PAC tidak boleh bermesyuarat sehingga pengerusi baharu dilantik, selaras dengan Peraturan Mesyuarat 77 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Katanya, Peraturan Mesyuarat 77(3) hanya terpakai apabila jawatan pengerusi itu masih diisi seseorang ahli majlis.
Empat ahli PAC dilantik menyertai rombakan kabinet pada Selasa lalu, 3 daripadanya timbalan menteri dan seorang menteri.
Langkah itu menimbulkan persoalan mengenai prosiding yang sedang berjalan termasuk pendengaran siasatan 1MDB yang akan bersambung minggu depan.
Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed dilantik sebagai timbalan menteri dalam negeri, manakala Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menjadi timbalan menteri luar, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (timbalan pelancongan dan kebudayaan), Datuk Wilfred Madius Tangau (menteri sains, teknologi dan inovasi).
No comments: