Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyatakan kebimbangannya menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang pada ketika kerajaan pemerintah berdepan pelbagai isu ketika ini.
Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan 5 negeri pada PRU 2008 walaupun ia ketika itu hanya berdepan 3 isu besar di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.
"Semasa PRU12, kita berdepan 3 isu, pertama harga barang, kedua isu tingkat 4 dan ketiga, minta maaflah, Pak Lah tidur.
"Tapi hanya kerana 3 isu ini, kita tumbang 5 negeri," kata Shafie semasa merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Bentong di Pahang hari ini.
Berbeza dengan PRU pada 2008 itu, Shafie membayangkan cabaran besar akan dihadapi Umno kali ini untuk terus berkuasa kerana ia memerlukan penelitian rapi, khususnya dalam mendengar suara rakyat.
"Bayangkan cabaran kita akan lalui dalam PRU14, yang memerlukan bukan hanya penelitian dan pendekatan halus dan mendalam supaya kita mendengar suara rakyat.
"Ini kerana, rakyat yang di bawah itu jadi penentunya. Kerana, kita wakil kepada rakyat dan tidak mungkin kita boleh kalau rakyat tidak sokong kita," katanya.
Shafie berkata, isu yang dihadapi kerajaan ketika ini sangat banyak, merangkumi skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hingga kepada isu kos sara hidup.
"Bukan setakat isu harga barangnya, isu GST (cukai barang dan perkhidmatan), bukan setakat 1MDB, bukan setakat harga minyaknya, bukan setakat harga minyak sawit, bukan setakat harga getahnya, bukan setakat isu MAS dengan 6,000 pekerja.
"Banyak lagi isu yang perlu kita tangani," katanya.
Bagi mengatasi masalah ini, Shafie menggesa keyakinan dan kepercayaan rakyat dikembalikan semula kepada kerajaan.
"Kerajaan tidak akan wujud tanpa 2 perkara ini. Tidak mungkin kita boleh terus berkuasa kalau 2 perkara ini tidak dikembalikan," katanya.
sumber
No comments: