» » 'Saya rasa ‘mendidih’ dan sakit hati bila diserang'


Datuk Seri Najib Razak hari ini mengakui marah apabila diserang bertalu-talu di laman media sosial berhubung beberapa isu yang membelenggu pentadbirannya.

Perdana menteri berkata sebelum pentadbirannya, turut terdapat beberapa isu yang membelenggu pentadbiran kerajaan namun tanpa media sosial, isu tersebut tidak "sepanas" dihadapi beliau sekarang.

"Macam 1MDB, kita belum rugi. MAS kita terpaksa suntik dana RM6 bilion, realitinya pada tahun 80an, 90an ada lagi.

"Isu-isu tertentu yang saya tak perlu kupas, tapi zaman dulu tiada media sosial, tak begitu panas, orang tidak tahu pun.

"Hari ini belum apa-apa meletup jadi panas, saya pun mendidih je sepanjang masa, tidak adil," katanya, ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Pasir Gudang di Dewan Taman Mawar, Pasir Gudang, Johor hari ini.

Beliau berkata, isu membabitkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu juga diperbesar-besarkan media sosial sedangkan syarikat itu belum lagi mengalami kerugian.

"Dalam sejarah kita banyak lagi isu, 1MDB belum ada kerugian.

"MAS kita dah tampung berapa bilion, penjualan saham MAS ini pun ada isu, nak sebut saya boleh sebut.

"Kalau saya sebut saya membuka pekung di dada, kalau tak sebut saya pula yang dipersalahkan," katanya, dan disahut: "Bukalah!" oleh sekitar 700 perwakilan bahagian tersebut.

Sehubungan itu, beliau berkata, Umno perlu menambah bilangan "cybertroopers" mereka untuk menangani serangan-serangan yang diterimanya.

"Kalau kita sebut berkenaan askar kita, kita bukan sahaja menyifatkan askar kita di kalangan secara fizikal tetapi sekumpulan lagi yang perlu kita wujudkan dengan bilangan yang begitu ramai, iaitu saya anggap 'keyboard warrior' untuk Umno," katanya.

"Ini adalah kerana pembentukan minda hari ini, soal persepsi lawan realiti, taburan benar lawan batil, sebaran fitnah tohmahan berada di hujung jari," kata ahli Parlimen Pekan itu lagi.

Najib dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan terhadap Umno Johor kerana masih memberi kepercayaan kepadanya meskipun 'terasa hati' dengan dirinya.

"Terima kasih Umno Johor, walaupun terasa hati, tapi beri kepercayaan. Tak mengapa, kita ada ubatnya, ada caranya. Kita boleh bermuafakat tapi prinsipnya kesetiaan kepada parti.

"Saya faham sentimen di Johor. Bukan saya tak faham, saya dengar. Yakinlah kita ada masa depan," katanya.

Najib sebelum ini menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri dalam rombakan Kabinet terbarunya bulan lalu.

Muhyiddin merupakan ahli Parlimen Pagoh dan pernah memegang jawatan menteri besar Johor, sebelum berpindah ke pentadbiran kerajaan di peringkat pusat.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .