Tan Sri Muhyiddin Yassin berikrar tidak akan membisu walaupun digugurkan daripada jawatan timbalan perdana menteri, kerana beliau masih lagi mempunyai tanggungjawab sebagai timbalan presiden Umno.
Berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kluang di Dewan Pekan Rabu, Kluang, Johor hari ini, beliau berkata, ucapan dan kata-katanya semata-mata demi memastikan Umno terus berkuasa dan kerajaan pemerintah tetap stabil.
"Ya, saya berhadapan sedikit perbezaan pandangan dengan presiden parti. Dalam satu perkara sahaja iaitu 1MDB.
"Bila hendak sebut ini, banyaklah sahabat politik saya yang bagi nasihat. Mereka kata saya bukan lagi timbalan perdana menteri. Saya kata, biarlah.
"Mereka mengingatkan saya supaya cakap baik-baik. Saya tanya, kenapa? Mereka kata, manalah tahu selepas saya tidak lagi dalam jawatan kerajaan, ada pihak nak cari salah supaya jawatan saya sebagai timbalan presiden digugurkan," katanya, di hadapan perwakilan yang hadir.
Muhyiddin berkata, beliau akan terus bersuara kerana pemimpin politik yang tidak bersuara tidak layak menjadi ketua.
"Jadi, bagaimana saya nak cakap? Tutup mulut dan berdiam diri? Takkan saya nak membisu. Saya harus bercakap, kerana ini tugas.
"Kalau orang politik tidak boleh bercakap, dia tidak boleh jadi ketua," kata ahli Parlimen Pagoh itu lagi.
"Apa yang saya lakukan selama ini dengan ungkapan, pertanyaan, untuk membantu supaya perjuangan parti terus kekal."
Beliau berkata, selama 41 tahun bersama Umno dan 37 tahun dalam kerajaan, beliau menghadiri ribuan majlis dan memberikan pelbagai ucapan, sekaligus sukar untuknya mendiamkan diri.
Muhyiddin turut berkata, ucapan-ucapannya juga tidak mempunyai maksud untuk menurunkan kerajaan sedia ada.
"Sejak bila saya reformasi? Beribu jam saya berucap, tiada orang turun ke jalan raya pun. Takkan selepas saya berucap, orang turun ke jalan raya. Saya timbalan presiden Umno.
"Sejak bila saya nak jatuhkan kerajaan? Dua hari selepas digugurkan, saya tidak pergi mana-mana. Duduk sahaja di rumah. Orang ramai datang. Tetapi tidak ramai ketua bahagian datang," katanya.
sumber
No comments: