» » Polis jadi alat ‘tangan tersembunyi’ agenda pemusatan kuasa


Insiden penangkapan 16 aktivis mahasiswa di hadapan bangunan Parlimen malam tadi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah suatu tindakan mencemar prinsip demokrasi Malaysia, kata Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, tindakan berkenaan juga menunjukkan dengan jelas sejauh mana institusi-institusi di dalam negara ini sudah "dirobek".

"Saya percaya kesemua mahasiswa itu hanya mahukan jawapan dan kebenaran daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, akan tetapi yang mengecewakan jawapan yang diberikan ialah lokap dan tindakan agresif daripada pihak polis," katanya, dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau juga yakin tindakan berkenaan adalah satu komplot kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat supaya tidak bangkit menentang gejala rasuah di Malaysia.

"Polis yang seharusnya menjadi benteng mempertahankan rakyat, sebaliknya menjadi alat ‘tangan-tangan tersembunyi’ untuk meneruskan agenda pemusatan kuasa," katanya.

"Ingin saya mengingatkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya berhenti menjadi alat pengongkongan demokrasi dan berhenti memburu para pengkritik kerajaan yang hanya menggunakan kebebasan yang telah termaktub dalam Artikel 10, Perlembagaan Malaysia."

Beliau berkata, pimpinan yang waras dan beretika akan cuba sedaya upaya meyakinkan segenap masyarakat tentang apa saja perkara berbangkit dengan cara rundingan berhemah dan menurut semangat undang-undang yang murni.

"Bukannya dengan kekerasan yang berlindung di sebalik penguatkuasaan undang-undang.

"Insiden ini memberi satu isyarat kepada rakyat, pada saat yang getir ini rakyat perlu bersatu padu dan menyatakan hak mereka kerana keadaan kini sudah semakin parah dengan ringgit yang jatuh menjunam, kos sara hidup yang tinggi dan ekonomi yang tidak stabil," katanya.

Beliau turut menggesa agar rakyat tidak mensia-siakan langkah awal kumpulan #LangkahSiswa tersebut.

"Gesaan saya adalah supaya rakyat terbanyak jangan sia-siakan usaha awal yang dimulakan oleh #LangkahSiswa ini!

"Mari sama-sama turun pada 29 haribulan ini untuk menuntut hak kita!" katanya, merujuk kepada demonstrasi Bersih 4 yang dijadualkan berlangsung di ibu negara bermula 29 Ogos hingga 30 Ogos depan.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .