» » Peruncit tanggung rugi selepas daftar bawah TUKAR


Jancy (bukan nama sebenar) terpaksa menukar perniagaannya di Lorong Kurau, Bangsar daripada kedai runcit ke kedai makan, semata-mata untuk menampung kehidupannya dan 2 anaknya yang masih menuntut di kolej, setelah beliau rugi lebih RM60,000 disebabkan berdaftar di bawah Program Transformasi Kedai Runcit (Tukar).

Wanita berusia 50 tahun itu berkata, beliau diberikan hutang sebanyak itu sebagai kos mengubahsuai dan menaik taraf kedai runcitnya, serta modal membeli barang runcit secara borong.

"RM40,000 diperuntukkan hanya untuk proses pengubahsuaian. (Tetapi) Mereka hanya menambah lampu di kedai saya, cat, susun atur barang runcit, pemasangan wayar, rak dan mesin wang. Saya merasakan kos sebenarnya kurang RM40,000.

"Manakala RM20,000 diperuntukkan untuk membeli barang runcit sebagai modal. Mereka melantik konsultan dari pasar raya besar untuk menyelia kami dan RM20,000 tersebut perlu dibelanjakan dalam masa satu hari di pasar raya mereka," katanya.

"Saya seperti ditipu oleh mereka (pihak Tukar)," katanya kepada The Malaysian Insider menerangkan penglibatannya dalam program Tukar, di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang dilancarkan pada 2011.

Ia bertujuan menaik taraf kedai runcit menjadi lebih moden dengan peruncit diberikan pinjaman kerajaan mengikut keperluan dan dikawal selia dalam proses menukar kedai runcit itu.

Katanya, barang runcit yang disyorkan konsultan pasar raya besar itu untuk kedainya kebanyakan dibuang begitu saja kerana tarikh sudah luput.

"Berkotak-kotak syampu, mi segera, sos cili, kicap dan lain-lain lagi barang runcit terpaksa dibuang. Sewaktu memborong barang tersebut, saya tidak terfikir kebanyakannya akan mencapai tarikh luput sebelum dibeli.

"Pada masa sama, konsultan dari pasar raya tersebut memberitahu saya, jika saya beli barang itu, pasti akan laris dengan segera kerana kedai sudah diubahsuai dan menarik minat pelanggan untuk datang membeli," katanya.

Apabila ditanya mengapa beliau terfikir untuk berdaftar di bawah Tukar, katanya:"Pada mulanya saya memang sukarela untuk berdaftar di bawah Tukar kerana berpendapat boleh menjana keuntungan yang lebih.

"Tambahan pula, mereka berkata, kedai saya akan bertukar menjadi seperti kedai serbaneka seperti 7-Eleven," katanya yang mendapat maklumat mengenai program itu melalui radio dan berdaftar di bawah Tukar pada 2012.

Bagaimanapun, disebabkan kerugian yang tidak dapat ditanggungnya lagi, setahun selepas berdaftar di bawah Tukar, Jancy terpaksa menukarkan perniagaan kedai runcitnya kepada kedai makan.

Balu yang kematian suami sejak 2006 itu berkata, beliau malu apabila pekedai dan orang ramai di sekelilingnya bertanyakan perihal kedai runcitnya.

"Semua orang di sini tahu hal saya. Saya rugi banyak. Pinjaman RM60,000 kena bayar sebab mereka panggil peguam datang ke kedai saya, ugut untuk heret saya ke mahkamah jika saya tidak melangsaikan hutang.

"Saya terpaksa tukar perniagaan saya jadi kedai makan. Kalau saya harapkan duit daripada kedai runcit saya dulu, saya dan anak tidak boleh hidup sebab terpaksa tanggung kerugian. Bukan setiap hari orang beli barangan runcit dengan banyak," katanya.

Beliau berkata, apabila ada yang meminta pendapatnya mengenai rancangan mendaftarkan kedai runcit mereka di bawah Tukar, beliau akan memberitahu mereka, 'Lebih baik jangan, nanti menyesal'.

Katanya, untuk menampung kehidupan dan membayar pinjaman tersebut, beliau terpaksa membuka kedai makannya seawal 7.30 pagi sehingga 10 malam.

Nasib yang sama juga terjadi kepada sebuah lagi kedai runcit di bawah program Tukar, Prem Mini Mart di Taman Bukit Desa, Kuala Lumpur.

Menurut penolong pemilik kedai itu Mary P John, 73, beliau menjangkakan perniagaannya akan lebih maju sekiranya berdaftar dengan Tukar, namun kedai itu hanya menanggung beban.

"Kawan saya yang mencadangkan saya dan menantu saya, Prem (pemilik kedai), berdaftar di bawah Tukar kerana katanya mereka (pihak Tukar) akan menolong peniaga kecil seperti kami memajukan perniagaan.

"Kami pula ketika itu tidak cukup wang untuk membeli barang kedai," katanya menceritakan bagaimana beliau boleh terlibat dengan program itu.

"Pihak Tukar datang ke kedai kami untuk melakukan pengubahsuaian supaya lebih cantik dan memberi pinjaman kira-kira RM70,000. Proses pengubahsuaian saja memakan belanja lebih RM30,000.

"Apa yang bagus sangat tentang 'pengubahsuaian' yang mereka lakukan ini? Mereka beri semua kepada kontraktor mereka," katanya sambil menunjukkan keadaan kedai runcitnya itu.

Prem Mini Mart turut mendapat pengubahsuaian yang sama seperti kedai runcit Jancy di mana Tukar hanya memberikan peruntukan wang yang tertentu untuk pengubahsuaian kecil di kedai mereka.

"Mereka (Tukar) juga menetapkan kira-kira RM30,000 untuk modal barangan kami. Kami disyorkan untuk memborong barang di satu pasar raya di Masjid India, memandangkan kebanyakan barang kami merupakan barangan India.

"Tempat yang disyorkan itu mahal tetapi kami perlu ikut mereka dan diarahkan untuk borong barang runcit kami dengan jumlah yang banyak. Akhirnya, banyak yang masih tidak terjual dan terpaksa dibuang,

"Barang seperti tepung, kacang dal banyak melepasi tarikh luput dan terpaksa dibuang," katanya yang mendaftar di bawah Tukar pada 2013.

Mary berkata, beliau tidak pernah meminta pandangan atau merujuk kepada sesiapa sebelum mencadangkan pendaftaran itu kepada menantunya.

"Kami rasa ditipu dan terpaksa membayar semua jumlah pinjaman tersebut. Disebabkan itu juga, saudara-mara saya menyalahkan saya kerana mencadangkan kedai ini berdaftar dengan Tukar," katanya.

Kedai runcitnya kini masih berjalan seperti biasa meskipun menanggung rugi puluhan ribu ringgit.

The Malaysian Insider cuba mendapatkan penjelasan daripada pihak KPDNKK sendiri berhubung isu ini namun ia seakan-akan tidak mengendahkan perkara tersebut dan memilih untuk tidak memberi sebarang jawapan.

Pada April 2014, Bernama melaporkan menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013, sebanyak 26% daripada 70 kedai di bawah program Tukar mengalami kemerosotan nilai jualan manakala 14% lagi terpaksa gulung tikar.

Namun, menurut laporan itu, kedai yang mengalami kemerosotan nilai jualan antaranya berpunca daripada wujudnya persaingan dengan pasar raya berdekatan.

Pemandu, satu unit di bawah Jabatan Perdana Menteri, juga mempertahankan Tukar, mengatakan pada akhir tahun lepas, atau selepas tahun ke-4 pelaksanaan program itu, 1,914 kedai berjaya ditukar.

Ini diterjemahkan kepada 38% daripada kumulatif nilai program ini untuk mencapai sasaran 5,000 kedai menjelang 2020, kata Pemandu.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .