» » Pengasas Sarawak Report tidak gentar ancaman susulan pendedahan skandal 1MDB


Clare Rewcastle-Brown bukan seorang yang mudah terancam. Walaupun menerima ugutan bunuh dan amaran bagi menghentikan pendedahan beliau, pengasas dan pengarang laman web pemberi maklumat Sarawak Report itu berkata, beliau tidak gentar.

Rewcastle-Brown bagaimanapun berkata, beliau kini perlu berfikir dua kali negara mana yang selamat untuk dilawatinya, mana yang tidak.

"Nampaknya, ancaman utama ketika ini datang daripada menteri kerajaan Malaysia yang mencari alasan untuk menangkap saya di seluruh dunia dan mengekstradisi saya bagi dibawa 'ke muka pengadilan' di Malaysia," katanya kepada The Malaysian Insider (TMI) dalam satu temu bual eksklusif.

"Ia membuatkan saya berfikir 2 kali di mana tempat yang selamat untuk dilawati dan di mana tidak. Lagipun, terdapat beberapa negara di mana pihak berkuasa tertentu seolah-olah boleh dibeli supaya menahan dan mengganggu orang yang tidak bersalah dan saya tidak fikir sesetengah rakyat Malaysia terkecuali daripada perkara ini."

Tetapi, penulis berusia 55 tahun itu merasakan perlindungan yang terbaik ialah dengan terus bersifat terbuka dan "tiada apa hendak disembunyikan".

"Saya mempunyai kesihatan yang baik, jadi ia cukup mencurigakan jika saya bergerak bebas sekarang," tambah beliau.

Sarawak Report, yang diasaskan Rewcastle-Brown sejak 5 tahun lalu, menyiarkan laporan bersifat kritikan terhadap firma pelaburan negara sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sekali gus membawa kepada siasatan oleh pelbagai pihak ke atas agensi kerajaan itu.

Beliau juga didakwa cuba campur tangan dalam hal ehwal Malaysia dan cuba "menjajah" negara melalui pendedahan Sarawak Report berhubung skandal 1MDB.

Beliau juga didakwa mengubahsuai dokumen 1MDB sebagai sebahagian cubaan menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Laman sesawang Sarawak Report juga disekat pengawal selia Internet Malaysia sejak seminggu lalu, atas alasan kandungannya berkaitan 1MDB boleh menjejaskan kestabilan negara ini, manakala Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Rewcastle-Brown boleh di ekstradisi ke Malaysia untuk dihadapkan ke muka pengadilan kerana mencampuri urusan kedaulatan negara.

Rewcastle-Brown melahirkan kehairanannya kerana dihalang memasuki negeri asalnya Sarawak, yang beliau gambarkan sebagai "indah dan penuh dengan orang yang baik".

"Kita selalunya bangga dengan tempat di mana kita dibesarkan dan saya rasa sangat sayang kepada Sarawak dan Sabah.

"Saya berasa terkilan kerana diharamkan masuk ke Sarawak, tetapi saya juga tahu ada ramai lagi yang senasib dengan saya dan saya beruntung kerana ada tempat lain untuk pergi dan berpeluang bercakap mengenainya."

Berikut adalah petikan daripada temu bual itu:

TMI: Apa pengalaman anda ketika kanak-kanak di Sarawak? Apa yang anda ingat tentang perkara itu?

Sangat gembira – kenangan yang cukup kuat terhadap sebuah negara yang indah dan orang yang baik. Pergi ke sekolah di KK (Kota Kinabalu) dan mendaki Gunung Kinabalu ketika berusia 8 tahun! Banyak menghabiskan masa memanjat pokok, di pantai dan lain-lain.

TMI: Anda kembali ke United Kingdom ketika berumur 8 tahun dan terus menetap di sana. Adakah anda pernah melihat diri anda sebagai sebahagian daripada orang Sarawak?

Kita selalunya bangga dengan tempat di mana kita dibesarkan dan saya rasa sangat sayang kepada Sarawak dan Sabah. Saya menyambung persekolahan di UK, tetapi keluarga kami kerap merantau dan bekerja di banyak tempat, yang saya akan turut lawati. Ibu bapa saya menetap di Sepanyol, tetapi saya merantau ke London, di mana saya dibesarkan dan bekerja.

TMI: Bagaimana anda rasa ketika anda dihalang daripada memasuki negeri asal anda?

Saya berasa terkilan kerana diharamkan masuk ke Sarawak, tetapi saya juga tahu ada ramai lagi yang senasib dengan saya dan saya beruntung kerana ada tempat lain untuk pergi dan berpeluang bercakap mengenainya.


sumber



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .