» » Pemimpin sekolah dan guru kompeten penentu keberhasilan murid


Pemimpin sekolah dan guru yang kompeten serta berkualiti menjadi faktor penentu kepada keberhasilan murid, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof.

Beliau berkata untuk memastikan peningkatan keberhasilan murid itu, maka pengetua dan guru besar perlu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan membimbing guru bagi memastikan kualiti pembelajaran murid meningkat.

"Untuk mencapai peningkatan ini, aktiviti pembangunan profesional berterusan dalam organisasi sekolah perlu digalakkan dan disokong khususnya pembangunan profesional berterusan inisiatif kendiri," katanya pada majlis perasmian Wacana Perdana 2015 di Institut Aminuddin Baki (IAB), Bandar Enstek dekat Nilai, malam tadi.

Beliau berkata inisiatif kendiri merupakan transformasi untuk mengupayakan dan memberikan autonomi kepada guru dan pemimpin sekolah bagi meningkatkan kebertanggungjawaban dan akauntabiliti terhadap pembangunan profesionalisme kendiri.

"Pembangunan profesionalisme kendiri ini usaha untuk memastikan setiap individu profesional dalam organisasi sekolah memastikan perkembangan mereka dalam bidang yang mereka perlukan dan tidak hanya mengikuti modul pembangunan yang disediakan oleh organisasi," katanya.

Sehubungan itu, katanya, pemimpin sekolah perlu menyusun pelbagai strategi bagi menggalakkan semua warga sekolah untuk belajar dan terus belajar kerana pendidikan adalah dinamik.

Beliau berkata adalah amat penting bagi pemimpin sekolah menggalakkan budaya kerja berkolaborasi melalui komuniti pembelajaran profesional agar dapat mengoptimumkan perkongsian sumber.

"Budaya komuniti pembelajaran profesional ini akan menghasilkan guru yang berketerampilan tinggi daripada segi personaliti, pemikiran kreatif, kritis dan strategik yang akhirnya menjadi pemacu yang amat penting ke arah meningkatkan pencapaian murid.

“Kualiti pendidikan di sekolah amat bergantung kepada keterampilan dan profesionalisme yang dimiliki oleh pemimpin sekolah dan pemimpin sekolah tiada pilihan selain memperkasakan keupayaan kepimpinan mereka.

"Mereka diharap berupaya melaksanakan tugas seharian dengan menepati spesifikasi yang ditetapkan dan berkebolehan melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan jayanya," katanya.

Katanya, cabaran pendidikan negara era milenium ini adalah menghasilkan modal insan yang berupaya menangani persekitaran global yang sentiasa berubah, mampu meningkatkan kualiti hidup dan menyumbang kepada kesejahteraan negara.

Beliau berkata, modal insan minda kelas pertama ini mestilah berpemikiran aras tinggi, memiliki kemahiran insaniah dan memenuhi ciri-ciri yang menepati keperluan pasaran tenaga kerja semasa dan akan datang.

Wacana Perdana 2015 mengandungi dua persidangan dalam bidang kepimpinan dan pengurusan pendidikan iaitu Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendididikan Ke-22 dan Kolokium Kebangsaan Kepimpinan Instruksional Ke-11.

Sejumlah 500 peserta yang terdiri daripada pengurus dan pemimpin institusi pendidikan seluruh negara, warga Kementerian Pendidikan dan pensyarah IAB menghadiri Wacana Perdana 2015 selama 4 hari ini bermula Selasa lepas.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .