» » Pemimpin dan ahli politik Malaysia sepatutnya berada dalam batasan kuasa


"If men were angels, no government would be necessary. In framing a government which is to be administered by men over men, the great difficulty lies in this: you must first enable the government to control the governed; and in the next place oblige it to control itself." - James Madison, Federalist Paper No 51 (1788)

Pembatasan kuasa bukanlah isu baru malah sering diperkatakan ramai. Namun, kita perlu terus memperkatakannya untuk menggalakkan kesedaran kepentingannya.

Ahli politik akan sentiasa menjustifikasikan kewujudan mereka. Malangnya, di samping itu, mereka sering memomokkan kebebasan sebagai ancaman. 

Kadangkala, mereka menggunakan faktor lain, misalnya agama, untuk mengekang kebebasan. Entah bagaimana mereka tidak menemukan hujah yang menyatakan perlunya kuasa mereka dibatasi. 

Walhal, sekiranya kebebasan tanpa batas itu berbahaya, kekuasaan tanpa batas jauh lebih berbahaya.

Asal usul kebebasan dan kekuasaan

Oleh itu, asal usul kebebasan dan kekuasaan ini mesti dipertanyakan. Secara lumrahnya, tidak ada mana-mana individu berhak memerintah individu lain, apatah lagi kelompok yang ramai. 

Ia hanya boleh berlaku sekiranya kita menerima pihak yang lemah mesti tunduk kepada yang kuat - seperti perhambaan. Bagaimanapun, manusia melangkaui kehidupan yang demikian.

Meskipun, secara sedar atau tidak, masih ada yang berpegang dengan pandangan tersebut, perhambaan boleh dikatakan hampir lenyap dalam amalan manusia kini, dan jika wujud sekalipun, ia akan dipandang jijik dan dianggap satu kesalahan berat. 

Manusia kini berpegang dengan kemuliaan insan, semua manusia adalah sama di sisi Tuhan - mempunyai maruah dan kehormatan, bakat dan keupayaan, nyawa dan kebebasan.

Hujahannya jelas, ia hak yang diberikan Tuhan, justeru tidak boleh digugat. Oleh itu, menggambarkan hak ini sebagai bercanggah dengan agama adalah tersasar.

Dengan asas ini, dihujahkan lanjut keperluan pemimpin untuk mentadbir sebuah negara ini adalah untuk melindungi hak ini yang ada pada semua warga, bukan kelompok tertentu saja. Inilah fungsi kepimpinan untuk dijalankan melalui mandat daripada orang ramai yang dipimpin.

Setiap manusia mempunyai hak untuk hidup, bebas dan mencari serta mendapatkan pemilikan harta. Ia bukanlah hak yang wujud kerana ada undang-undang tertentu dibuat manusia. 

Sebaliknya, kerana hak ini wujudlah, manusia membuat undang-undang.

Namun, perlu disedari sekiranya seseorang tidak mempunyai hak terhadap hidup, kebebasan dan harta pihak lain, maka mereka tidak boleh memberikan hak ini kepada kerajaan. 

Manusia tidak boleh memberikan sesuatu kepada pihak lain jika sesuatu itu tidak dimiliki mereka.

Sekiranya pemimpin merasakan manusia berkecenderungan buruk, sehingga hidup, kebebasan serta pencarian dan pemilikan harta mereka perlu dikawal, bagaimana kita boleh menganggap kecenderungan pemimpin sentiasa baik? 

Bukankah mereka juga manusia, mendapat mandat daripada orang ramai dengan kuasa tertentu?

Orang ramai yang sepatutnya mempersoalkan bagaimana mereka menggunakan kuasa yang dipinjam, bukan membiarkan mereka sewenang-wenangnya membangsatkan kita seolah-olah kepimpinan itu hak mereka yang tidak boleh digugat.

Memulihkan demokrasi

Sejarah pemikiran demokrasi sebenarnya menekankan kepentingan membatasi kuasa kerajaan atau pemerintah. Pertama, ia menekankan hak setiap manusia yang diberikan oleh Tuhan, bukan undang-undang (baca: ditentukan manusia tertentu).

Kedua, ia menyatakan keperluan kepimpinan untuk melindungi semua hak ini. Oleh itu, kepimpinan mesti mendapatkan mandat daripada rakyat. 

Proses mendapatkan mandat ini berkembang sehingga membentuk sistem pilihan raya seperti masa kini.

Ketiga, pilihan raya mestilah bersifat bebas dan adil. Ia mestilah mencerminkan hak dan kebebasan untuk memilih pemimpin. 

Unsur yang menjadikan ia sebagai cara memilih pemimpin secara saksama mestilah dipastikan.

Keempat, kerajaan atau pemerintah tidak berkuasa penuh. Konsep pemisahan kuasa bertujuan memastikan badan eksekutif tidak bertindak sewenang-wenangnya. 

Oleh itu, mereka yang berada di badan legislatif dan yudikatif (kehakiman) mestilah turut dipantau agar berperanan sewajarnya, bukan menjadi alat badan eksekutif untuk meluaskan kuasanya.

Kelima, semua wakil rakyat yang dipilih akan menjadi anggota badan legislatif. Ini bermaksud mereka adalah sebahagian cabang kerajaan atau pemerintah itu sendiri. Pembangkang dalam badan legislatif adalah untuk menyemak dan juga mengimbangi dasar yang mahu dikemukakan badan eksekutif.

Mereka mesti dipastikan mendapat layanan saksama untuk menjalankan fungsi masing-masing. Layanan tidak saksama kepada mana-mana anggota badan legislatif mesti dilihat sebagai usaha untuk membelakangi hak rakyat memilih wakil mereka, malah percubaan badan eksekutif meningkatkan kuasa mereka dan mewujudkan jenis persaingan politik yang tidak saksama.

Keenam, kewujudan 2 jenis Dewan - misalnya Dewan Rakyat dan Dewan Negara, serta 3 peringkat kerajaan - persekutuan, negeri dan tempatan - juga penting untuk mengimbangi kuasa yang ada. Namun malangnya, kerajaan tempatan di Malaysia tidak lagi dipilih secara terus melalui proses pilihan raya.

Tempoh berkuasa

Dari semasa ke semasa, sistem demokrasi cuba diperbaiki untuk membolehkan ia berfungsi untuk kebaikan semua. Ini kerana ia terdedah kepada keinginan manusia memanipulasi sistem untuk kepentingan sempit mereka.

Satu daripada penambahbaikan sistem ialah dengan mengehadkan tempoh khidmat seorang presiden atau perdana menteri.

Ini memang menjadi perdebatan di banyak negara. Meskipun ramai ahli politik yang mengakui kepentingan idea ini, ia bagaimanapun sulit dilaksanakan. 

Di sesetengah negara, ketika undang-undang sedia ada membatasi tempoh perkhidmatan presiden atau perdana menteri, usaha untuk membatalkan atau mengecualikannya juga berlaku.

Had tempoh berkuasa presiden atau perdana menteri sebenarnya adalah satu lagi cara untuk mengelak penompokan kuasa, sebaliknya mendorong imbangan kuasa dan mengekang penyelewengan atau rasuah. 

Ia juga membolehkan peralihan kuasa berlaku dengan lancar di samping menggalakkan setiap pemimpin dan parti politik yang berkuasa untuk sentiasa berwaspada dengan kuasa yang ada.

Tidak ada jaminan pengganti kepada pemimpin terdahulu akan lebih baik daripada yang sudah tamat tempoh perkhidmatannya. Bagaimanapun, rakyat adalah tuan yang sebenar dalam demokrasi dan wakil rakyat hanyalah tidak lebih daripada pemberi khidmat. 

Justeru itu, apabila seorang wakil rakyat kembali menjadi rakyat biasa, sebenarnya mereka kembali ke kedudukan lebih tinggi.

Pemimpin tidak perlu berasa ralat apabila tidak lagi berkuasa kerana penompokan kuasa, bukannya kebebasan, definisi terdekat dengan kediktatoran dan juga kezaliman.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .