Pakatan Rakyat (PR) sudah menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu sekiranya Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah diletakkan sebagai calon perdana menteri, kata Datuk Mustafa Ali.
Pengarah pilihan raya PAS itu berkata, menjelang PRU13 lalu parti Islam itu pernah mencadangkan kepada PR agar menerima Razaleigh yang mesra dengan panggilan Ku Li sebagai calon perdana menteri untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN).
"Saya yakin jika Tengku Razaleigh kita umumkan sebagai calon PM, kita akan dapat sokongan lebih ramai orang Melayu dan memenangkan PR untuk ke Putrajaya," kata bekas setiausaha agung PAS itu kepada The Malaysian Insider.
"Kita cadang, Ku Li jadi PM separuh penggal dan separuh lagi Anwar. Namun PKR tetap mahukan Anwar," kata Mustafa merujuk kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mustafa mengungkit kembali perkara ini ekoran tekanan berterusan pemimpin DAP khasnya Lim Kit Siang mengatakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menolak Anwar sebagai calon perdana menteri kerana mahukan Ku Li.
"Kit Siang tidak beritahu cerita penuh yang sebenar. Tidak pernah pada mana-mana masa, Hadi tolak Anwar sebagai calon PM tetapi calon PM tidak diumumkan kerana masalah strategi," katanya.
Mustafa berkata, menjelang PRU13 mereka mendapat laporan, PR boleh menang dengan syarat terdapat pertambahan sokongan undi Melayu.
"Kita perlu ada pengundi Melayu 3-5% lagi lari daripada BN ke PR. Cina sudah cukup. Macam mana nak dapat undi Melayu?
"Ini yang dibincangkan semua parti. Jika Ku Li bersama, kita boleh dapat tambahan sokongan Melayu kepada PR," katanya.
Susulan itu, katanya, PAS berjumpa dengan DAP dan PKR bagi membincangkan isu ini manakala pemimpin ketiga-tiga parti itu turut mengadakan pertemuan dengan Ku Li.
"Ku Li sedia untuk bersama," kata Mustafa.
Mustafa berkata, bagi PAS kedua-duanya Anwar dan Ku Li layak menjadi perdana menteri.
"Bila kita nak ambil Ku Li, kita kena fikir apa yang kita nak bagi. Katakan awak bersama kita, kita menang, PAS setuju Ku Li pegang dulu PM 2.5 tahun, kemudian tinggalkan kepada Anwar pula selebihnya. Dengan sendirinya dalam satu penggal, kedua-duanya boleh jadi PM.
"Ku Li menerima idea ini," katanya.
Mustafa berkata, beliau dan PAS berbincang dengan pemimpin DAP, Lim.
"DAP kata, jika Anwar dan PR setuju, DAP boleh terima," katanya.
Sehubungan itu, katanya satu pertemuan diadakan di antara PAS dengan PKR yang diketuai Anwar.
PAS diwakili Hadi, Mursyidul Am Datuk Dr Haron Din, timbalan presiden ketika itu, Mohamad Sabu dan Mustafa sendiri.
PKR pula diwakili Anwar, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, setiausaha agung ketika itu Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Datuk Johari Abdul dan Dr Rahim Ghouse.
"Rafizi tidak ada dalam majlis itu," kata Mustafa yang merujuk kepada setiausaha agung PKR sekarang Rafizi Ramli yang membuat pendedahan PAS mahu Ku Li jadi perdana menteri.
Dalam pertemuan itu, Anwar berkata dia akan berbincang dengan PKR dulu sebelum membuat keputusan.
"Tiada pertemuan selepas itu, hanya setiausaha agung PKR mengutus surat kepada PAS memaklumkan PKR memutuskan bakal PM adalah Anwar. Ku Li hanya berdiam diri saja," kata Mustafa.
Apabila sampai masa untuk mengumumkan calon perdana menteri untuk PR, PAS membuat keputusan tidak menamakannya, kata Mustafa.
"Kita bukan tolak Anwar tetapi strategi kita ketika itu adalah untuk mendapatkan lebih undi Melayu.
"Namun jika PR menang ketika itu, tiada pilihan lain melainkan Anwar," kata Mustafa.
sumber
No comments: